Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) harus mewujudkan fungsi sebenar agensi itu sebagai badan pembangunan industri filem.
Meskipun sudah 43 tahun ditubuhkan perkara itu masih tidak jelas, kata pengarah dan penulis skrip Al Jafree Md Yusof.
Bercakap kepada Malaysiakini, Al Jafree berkata, badan itu seperti terkeluar dari landasan pembangunan kerana hingga kini isu-isu yang menghimpit industri seakan tiada perubahan positif.
“Dah tak larat tengok 43 tahun masih sama, kami mahukan perubahan. Nama pun perbadanan kemajuan filem nasional, tapi bahagian pembangunan itu di mana?
“Kalau nak kata mengenai pembiayaan Dana Kandungan Digital, ia sudah diberikan sejak awal penubuhan badan itu lagi sedangkan banyak lagi masalah lain belum selesai.
“Kita boleh tengok pekerja filem masih susah sebab tiada tawaran kerja, isu royalti belum selesai, keputusan perolehan Radio Televisyen Malaysia (RTM) semakin teruk, daripada ribuan yang pitch, hanya 50 syarikat saja dapat malah kru-kru juga tiada faedah perubatan,” katanya ketika dihubungi.
Al Jafree diminta mengulas demikian susulan muncul petisyen dalam talian yang mendesak Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menamakan Al Jafree bagi mengisi jawatan ketua pegawai eksekutif Finas (CEO) - kerusi ‘panas’ yang sudah empat bulan dikosongkan.
Petisyen itu diwujudkan sejak semalam oleh sebuah kumpulan yang merahsiakan identitinya setakat ini.
Kumpulan itu antaranya berkata Al Jafree individu tepat yang boleh membawa industri keluar dari kemelut kerana dia bukan saja memahami masalah malah berbakat.
Jawatan itu sebelum ini diisi oleh Md Nasir namun Finas mengumumkan penamatan kontrak bapa pelakon Anzalna Nasir itu lima bulan lebih awal pada 1 Jun lalu.
Md Nasir memulakan perkhidmatan di Finas pada 1 Nov 2021 dan diberikan kontrak selama dua tahun.
Seandainya dilantik menjadi CEO, Al Jafree ingin menstruktur semula badan itu supaya kembali berfungsi seperti sepatutnya.
“Kalau betul nama saya masuk (terpilih), saya ingin cuba dua tahun.
“Saya mahu fokus untuk kembalikan badan itu kepada fungsi asalnya sebagai sebuah badan pembangunan sebab nampak saja OK, tapi keadaan agak serius sekarang,” katanya.
Pada masa sama, Al Jafree menafikan dakwaan dirinya dijanjikan sesuatu oleh menteri.
Katanya, sekiranya ada, tentu namanya sudah diumumkan untuk mengisi jawatan itu selepas ia dikosongkan.
“Mana ada. Kalau ada takkan nama tak naik (terpilih) sampai sekarang,” katanya.