Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Michael Jackson' pernah jadi pelajar tahfiz sebab takut jahil agama

Memilih untuk menyara hidup di jalanan sebagai pengajuk (impersonator) Raja Pop Michael Jackson, siapa sangka Ahmad Ebadey Ahmad Salleh sebenarnya merupakan seorang bekas pelajar tahfiz.

Kata Ahmad Ebady, disebabkan berasa dirinya “jahil” agama, dia membuat keputusan memasuki sekolah tahfiz selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Walaupun dah berada di tahap sekolah menengah, saya akui masih jahil agama antaranya tak pandai mengaji al-Quran.

“Saya fikir tak mahu terus jahil, kenalah isi dada dengan ilmu akhirat.

“Jadi, saya masuk sekolah tahfiz untuk belajar mengaji sebab sebelum itu buta huruf al-Quran,” katanya kepada Malaysiakini.

Kongsi Ahmad Ebadey, 25, dia banyak menimba pengalaman di sebuah sekolah tahfiz di Tawau, Sabah sebelum pusat pengajian agama itu musnah dijilat api.

Namun, dia bersyukur kerana tiada nyawa terkorban ketika kejadian.

“Cuma hilang kad pengenalan dan baju musnah. Mujur juga sempat khatam al-Quran tapi saya tak teruskan pengajian.

“Alhamdulillah, masih amalkan baca al-Quran. Kita tak sempurna sebab itu kena imbangkan dunia dan akhirat,” katanya.

Selalu ingat mati

Untuk rekod, kisah pemuda berasal dari Semporna, Sabah itu pernah tular di media sosial kerana dia mempunyai bakat tarian dan menyanyi mirip mendiang Jackson yang meninggal dunia pada 2009.

Video persembahan Ahmad Ebadey juga meraih banyak pujian kerana kelincahan dan dia lengkap berpakaian hampir serupa dengan penyanyi Man In The Mirror itu.

Pun begitu, meskipun terdedah ‘kelazatan’ duniawi, Ahmad Ebadey mengakui sering mengingati kematian agar dapat mengurangkan kecenderungannya kepada hal-hal hiburan.

Justeru, menurutnya dia perlu menjaga diri daripada terikut-ikut perkara tidak baik.

“Kalau kita selalu ingat mati, saya berani jamin kita tak teringin nak buat perkara buruk dengan mudah.

“Sejujurnya saya pernah masuk kelab malam tapi bukan untuk minum arak.

“Saya masuk ke sana kerana buat persembahan atau mencari kenalan dalam kalangan otai-otai industri untuk cari peluang kembangkan diri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Ebadey bakal muncul merakamkan lagu asal Jackson, Beat It dalam versi saduran dan diberi judul Bidin.

Menurutnya, lagu itu diterbitkan oleh Ahmad dari Persatuan Karyawan Malaysia di bawah label muzik MAP Music dan dijangka diterbitkan pada Disember ini.

“Ia digubah dengan naratif Bidin sebagai seorang pelajar malas belajar dan suka membuli,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS