Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penjara bukti sokongan Ahmad Dhani pada Prabowo berkesan

Pengasas Dewa 19, Ahmad Dhani, yakin sokongan bertahun-tahun yang diberikannya kepada Prabowo Subianto akan membantu bekas jeneral tentera Indonesia itu memenangi kerusi presiden negara tersebut tahun depan.

Ahmad Dhani berkata demikian susulan perjuangannya untuk memenangkan Prabowo sebelum ini pernah membawa dia ke penjara apabila didapati bersalah menyebarkan mesej kebencian di media sosial.

“Yakin sih. Kalau (sokongan) saya tak memberikan impak yang besar, takkan sampai saya dipenjarakan pada 2019,” katanya.

Namun, Ahmad Dhani atau nama penuhnya Ahmad Dhani Prasetyo sempat berseloroh dengan memohon agar peminat mendoakan dia terhindar daripada dikenakan hukuman sama sekali lagi.

“Jadi, doakan mudah-mudahan saya tak akan dipenjarakan lagi,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Dewa 19 yang terkenal melalui lagu-lagu seperti Risalah Hati, Pupus, Arjuna dan Roman Picisan itu akan menyampaikan 34 lagu pada konsert yang diiringi oleh 54 pemuzik orkestra Malaysia pada konsert yang berlangsung di lokasi sama malam ini.

Untuk rekod, Ahmad Dhani pernah dihukum penjara kerana mengeluarkan kenyataan terhadap Basuki Tjahaja Purnama - atau Ahok - yang dituduh menghina agama Islam.

Bekas gabenor Jakarta itu juga dipenjara dua tahun ada dakwaan menghina agama.

Tak boleh jadi ukuran

Prabowo yang menyertai persaingan merebut jawatan presiden Indonesia buat kali kedua dalam pemilihan presiden pada 14 Feb tahun depan bagi menggantikan Jokowi yang sudah mencapai penggal maksimum.

Perlembagaan Indonesia mengehadkan seseorang hanya boleh menjadi presiden selama dua penggal saja.

Turut bersaing untuk jawatan tersebut ialah Gabenor Jakarta Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo.

Pendaftaran untuk calon dijadualkan bermula pada 19 Okt ini dan berakhir pada 25 Nov sebelum disusuli dengan tempoh berkempen bagi pemilihan - yang bersekali dengan pilihan raya umum - pada 14 Feb 2024.

Prabowo disokong Koalisi Indonesia Maju yang didukung Partai Gerindra, Partai Golkar, Partai Amanat Nasional (PAN), dan Partai Demokrat.

Mengulas mengenai keyakinannya berhubung sinar kejayaan Prabowo yang mungkin dapat dilihat menjelang pemilihan tahun depan, bapa empat anak itu berkata, setakat ini dia belum boleh membuat sebarang ramalan.

Anies Baswedan

Ujar komposer berkenaan, Prabowo yang juga menteri pertahanan itu dilihat mendapat ‘prestasi’ baik sekali gus meletakkannya di hadapan berbanding calon lain dalam satu wawancara di YouTube bersama wartawan Indonesia, Najwa Shihab.

“Saya tak boleh jawab (siapa akan menang) kerana banyak hal yang tak terduga. Tapi, jumlah tontonan wawancara bersama Prabowo itu mendahului yang lain,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Ahmad Dhani, hal tersebut tidak boleh dijadikan ukuran pada kejayaan yang mungkin menanti Prabowo.

Katanya, kebanyakan yang menonton program bual bicara Najwa itu adalah golongan yang berpendidikan tinggi serta intelektual sedangkan 80 peratus rakyat Indonesia yang akan mengundi nanti terdiri daripada mereka yang berpendidikan lebih rendah.

"Jadi itu belum boleh jadi standard ukuran untuk kemenangan Prabowo,” katanya.

Sementara itu, mengenai konsertnya, Ahmad Dhani berkata, orkestra diibaratkan makanan jiwa kepada muzik justeru persembahan itu diyakini mampu menampilkan sisi berbeza band berkenaan.

Menurutnya, tidak timbul kerisauan jika penonton tidak dapat menikmati persembahan kerana prosedur konsert itu memerlukan mereka untuk duduk sepenuhnya.

“Jika penonton tak bergoyang tak bermaksud mereka tak dapat menikmati. Yang biasa bergoyang itu kerana sifat muziknya berbentuk hiburan dan untuk bersuka ria.

“Orkestra itu muziknya lebih serius, malah penonton juga tak boleh berbuat bising. Jika di Indonesia, persembahan orkestra masih baru. Di sana juga kerajaan tak membiayai persembahan seperti itu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS