Paling Popular
Terkini

Sama-sama pernah masuk penjara, justeru pengasas kumpulan Dewa 19, justeru Ahmad Dhani ada harapan besar terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahmad Dhani yang juga vokalis Dewa 19 itu berkata, dia berharap tokoh politik berkenaan boleh menjadi pemimpin contoh di Indonesia suatu hari nanti.

“Saya mempunyai harapan yang besar agar Anwar boleh bawa satu perubahan besar pada Malaysia.

“Anwar pernah masuk penjara juga. Cuma saya dipenjara 11 bulan, dia dipenjara 11 tahun. Banyak bezanya.

“Saya berharap Anwar boleh menjadi perdana menteri yang paling bagus di Malaysia.

“Melalui perubahan itu, dapatlah Indonesia mencontohi Malaysia,” katanya.

Ahmad Dhani berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert A Night At The Orchestra Chapter 5 Live In Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

Konsert dikendalikan konduktor muzik Indonesia, Guntur Nur Puspito itu bakal diiringi seramai 54 Piece Ahmad Dhani Malaysian Orchestra.

Dewa 19 turut berkolaborasi dengan tiga artis tempatan iaitu Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Amir Masdi bagi memeriahkan konsert berkenaan.

Baru-baru ini, perkongsian imej Ahmad Dhani bersama Anwar di media sosial mengundang perhatian ramai apabila dia memuat naik kapsyen: “Sama-sama pernah dipenjara.”

Ahmad Dhani memuat naik imej dia menggenggam tangan Anwar sambil tersenyum depan kamera pada program Temu Anwar di Jakarta yang diadakan pada 5 Sept lalu.

Untuk rekod, Ahmad Dhani menjalani hukuman penjara selama 11 bulan di Cipinang, Jakarta Timur selepas didapati bersalah menyebarkan mesej berunsur kebencian menerusi Twitter.

Hukuman yang bermula 28 Januari 2019 itu disingkatkan sebulan lebih awal selepas Ahmad Dhani mendapat pengampunan untuk kes yang disabitkan dan dibebaskan pada Disember tahun sama.

Anwar pula dipenjarakan sebanyak dua kali iaitu pada 1998 dan 2015 di Penjara Sungai Buloh, Selangor.

Sementara itu, menurut penganjur konsert, Iman Tang, Ahmad Dhani dan Anwar akan dipertemukan di Ibu Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya esok.

Kata Iman, tujuan mereka adalah untuk menghantar undangan kepada perdana menteri itu bagi menghadiri Konsert Night At The Orchestra Chapter 5 yang akan berlangsung malam esok.

“Perdana menteri nak berjumpa Ahmad Dhani dan Ahmad Dhani pun nak jumpa dia. Kebetulan esok ada acara Maulidur Rasul.

“Sebelum ini Anwar dan Ahmad Dhani pernah ditemukan dalam satu majlis di Jakarta, jadi kini perdana menteri ingin menyambutnya sebagai tuan rumah pula,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS