Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tewas di AGT, Putri Ariani tetap dapat pujian Simon Cowell
Diterbitkan:  Sep 28, 2023 5:00 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Penyanyi istimewa dari Indonesia, Putri Ariani terpaksa berpuas hati apabila dia hanya mampu meraih kedudukan keempat dalam America’s Got Talent (AGT) musim ke-18 pada peringkat akhir program realiti terkenal itu.

Putri Ariani gadis berstatus OKU penglihatan yang sebelum ini disebut-sebut bakal bergelar juara ditewaskan oleh peserta bernama Adrian Stoica bersama anjing kesayangannya, Hurricane.

Semasa pertandingan akhir AGT yang berlangsung di Pasadena Civic Auditorium, California, Amerika Syarikat, awal pagi tadi, Putri Ariani, 17, tampil menyanyikan lagu Run, nyanyian asal Snow Patrol, duet bersama penyanyi Leona Lewis.

Meskipun gagal meraih kedudukan juara, persembahan Putri Ariani tetap berjaya membuatkan juri pertandingan, Simon Cowell, Sofia Vergara, Heidi Klum dan Howie Mandel berdiri memberikan tepukan standing ovation.

Cowell - juri yang memberikan Golden Buzzer kepada Ariani - mengakui dia tetap berasa bangga dengan persembahan dipamerkan gadis asal Riau, Indonesia itu.

“Tidak ada yang mampu menafikan fakta awak adalah peserta luar biasa, dan juga manusia luar biasa.

“Tapi pada akhirnya, ini adalah pertandingan,” ujar Cowell.

Pada pentas akhir AGT, seramai 10 finalis bersaing untuk merebut gelaran juara yang ditentukan sepenuhnya melalui undian penonton.

Pemilik nama penuh Ariani Nisma Putri itu menjadi kebanggaan rakyat Indonesia apabila meraih perhatian dunia selepas berjaya mendapat Golden Buzzer daripada juri, Cowell, ketika peringkat saringan AGT pada Jun lalu.

Untuk rekod, Stoica dan Hurricane membawa pulang wang tunai bernilai US$1 juta (RM4.71) juta) dan berpeluang membuat persembahan pada AGT Presents Superstars Live di Luxor Hotel and Casino di Las Vegas, AS.

Tempat kedua diraih Anna Deguzman, dan Murmuration (ketiga), diikuti Ramadhani Brothers (kelima).

Sementara itu, Leona selepas mempersembahkan Run turut berkongsi rasa bangga apabila dapat menyanyi bersama bakat bergemerlapan seperti Putri Ariani.

“Awak sangat hebat. Nyanyian awak ibarat hadiah untuk dunia. Suara awak memberikan inspirasi dan saya sangat gembira dapat menyanyi bersama awak hari ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS