Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anak autistik keutamaan Fendy Caliph Buskers, bukan cari isteri

Dugaan membesarkan anak OKU penglihatan dan autistik menyebabkan pemain drum kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun tidak terburu-buru mahu menamatkan zaman duda.

Meskipun enam tahun sudah bercerai, Fendy berkata, keutamaannya ketika ini adalah meneruskan kelangsungan hidup bagi membesarkan Nur Azalea Zafirah, 8.

“Fokus utama saya adalah anak yang masih bersekolah,” katanya.

Hidup sebagai bapa tunggal menyebabkan Fendy - yang juga berstatus OKU penglihatan - tidak mempunyai pilihan selain daripada membawa Nur Azalea Zafirah, 8, turut mengikut aktiviti busking bersama kumpulan Caliph Buskers yang lain.

Situasi mendesak itu katanya, kerap menyebabkan Nur Azalea berdepan kesukaran bangun pagi.

“Memang terpaksa membawanya bersama. Sewaktu busking, orang ramai beri wang kepadanya, jadi dia lagi masyuk daripada kami.

“Cuma, apabila kami busking habis lewat malam misalnya sampai jam 12.30 atau 1 pagi, sukar nak kejutkan dia bangun pagi untuk ke sekolah keesokannya.

“Pagi itulah nak buat semua benda dan seterika baju. Itulah struggle orang yang bergelar bapa tunggal,” katanya.

Fendy ditemui pada majlis pelancaran single terbaru Caliph Buskers berjudul Inspirasi di sebuah restoran di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir, anggota Caliph Buskers yang lain iaitu vokalis Azmi Saat, Zaki Ismail (bass) dan Nirwan Zainalabidin (gitar).

Terdahulu Fendy berkahwin dengan Nadira Rubina pada 3 Mei 2014 dan bercerai pada 2018.

Kepayahan Fendy, 33, bukan setakat itu, dia juga perlu memperuntukkan wang sekurang-kurang berjumlah RM30 setiap hari agar Nur Azalea boleh ke Sekolah Rendah Pendidikan Khas Jalan Batu, Kuala Lumpur dengan menaiki e-hailing.

Katanya, jumlah itu pula bergantung pada tahap kesesakan lalu lintas dari rumah mereka di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Bandar Tun Razak dengan sekolah berkenaan.

“Disebabkan dia OKU dan autistik, hari-hari saya perlu menghantarnya ke sekolah dengan menaiki Grab.

“Ini kerana jarak rumah kami dengan sekolah di Kuala Lumpur itu agak jauh.

“Saya buat kira-kira dan dapati kos penghantaran untuk hantar anak ke sekolah dengan kos naik grab untuk keluar busking mencecah RM1,500 hingga ke RM1,600 sebulan,” katanya.

Mengenai perkembangan Nur Azalea, Fendy, 33, berkata, kanak-kanak itu kini sudah boleh mengeja dan membaca braille.

“Saya bersyukur sebab banyak perkembangannya sejak bersekolah,” kata Fendy.

Namun, dia berlapang dada kerana kadar sewa rumah PPR yang didudukinya agak murah meringangkan sedikit beban kewangan.

“Sebab saya pemegang kad OKU, sewa bulanan perlu dibayar hanya RM85 sebulan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS