Hampir setahun menagih baki bayaran tertunggak berjumlah RM8,000, Caliph Buskers - kumpulan yang terdiri daripada ahli yang berstatus OKU penglihatan - terus husnuzon (bersangka baik) penganjur sebuah karnival akan tampil melunaskan wang mereka suatu hari nanti.
Vokalis, Azmi Saat berkata, hal itu meskipun Caliph Buskers berisiko putih mata akibat tiada sebarang kontrak atau perjanjian dimeterai sebelum melakukan persembahan.
“Mungkin penganjur masih perlukan masa untuk cari duit, jadi kami akan tunggu lagi. Kami difahamkan mereka alami kerugian hingga tak mampu untuk membayar kami.
“Penganjur itu berdepan kerugian selepas karnival yang sepatutnya berlangsung 10 hari dipendekkan kepada tiga hari akibat masalah seperti cuaca.
“Jadi, kami husnuzon untuk dapatkan baki bayaran yang masih tertunggak,” katanya.
Tambah Azmi, 20 peratus daripada jumlah bayaran berjaya diperoleh selepas pihaknya berusaha untuk menuntut wang berkenaan bagi menyelesaikan masalah kru yang terbabit dan kos pengangkutan ketika itu.
Namun, dakwanya, hutang belum selesai tetapi penganjur sudah ‘menghilangkan diri.’
Justeru, dia menegaskan, Caliph Buskers tidak akan sesekali menghalalkan hutang berkenaan malah penganjur harus segera membayar hak di atas komitmen mereka.
“Kami hanya terima bayaran RM2,000 saja setakat ini. Selepas itu, mereka tak menjawab sebarang panggilan atau memberi maklumat berhubung pembayaran itu.
“Nak halalkan memang taklah. Sebab sewaktu pergi ke sana, kami memang hanya ada duit cukup-cukup untuk makan.
“Ketika itu pula, baru lepas perintah kawalan pergerakan (PKP), jadi memang sukar dapatkan tawaran kerja baru. Sekarang kami sudah tak dapat hubungi mereka,” katanya.
Azmi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaru Caliph Buskers berjudul Inspirasi di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.
Muzik video dan lagu terbitan Rubbertapper Production House (M) Sdn Bhd itu sudah dimainkan di corong-corong radio tempatan, selain turut dimuat naik di saluran YouTube Masyur pada 4 Ogos lalu.
Selain Azmi, anggota Caliph Buskers yang turut hadir pada majlis berkenaan adalah Fendy Adlun sebagai pemain dram, Zaki Ismail (bass) dan Nirwan Zainalabidin (gitar).
Caliph Buskers sebelum ini dilaporkan masih belum menerima baki bayaran selepas membuat persembahan di sebuah karnival yang disertai di Pulau Pinang pada 9 dan 10 Disember lalu.
Biarpun berdepan kesukaran menuntut wang bayaran atas hasil usaha mereka sendiri, Azmi, berkata, dia dan anggota kumpulan yang lain tetap menolak untuk menggunakan saluran undang-undang buat masa ini.
Menurutnya, tindakan undang-undang akan membabitkan kos lebih besar selain menambah beban kewangan sedia ada.
“Jika bawa perkara itu ke mahkamah dan syarikat itu kemudian diisytiharkan bankrap, lagilah kami tak dapat apa-apa,” luahnya.
Sementara itu, mengulas buah tangan baru mereka, Azmi berkata, Inspirasi adalah lagu yang boleh menyuntik semangat agar seseorang tidak berputus asa ketika berjuang berdepan dugaan hidup.
Azmi bersyukur dengan penghasilan lagu berkenaan selepas tampil dengan single kali terakhir pada 2021.
“Inspirasi adalah ciptaan saya. Ia berkisahkan perkara yang sedang diperjuangkan oleh setiap individu.
“Dalam berjuang, pasti ada yang berdepan situasi membuatkan mereka rasa penat atau mahu mengalah.
“Jadi lagu ini bertujuan memberi semangat kepada semua supaya jangan berhenti berjuang kerana pada penghujung nanti kita akan rasa kemanisannya,” katanya.