Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Noor Nabila, Engku Emran bercerai talak satu
Diterbitkan:  Sep 25, 2023 5:54 PM
Dikemaskini: 9:54 AM

Ikatan perkahwinan Noor Nabila yang terbina dua tahun bersama Engku Emran Engku Zainal Abidin akhirnya terlerai dengan talak satu selepas pasangan itu sah bercerai di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada pukul 12.50 tengah hari tadi.

Melalui Instagram Story, kakak Neelofa itu meluahkan perasaan mengenai usaha yang dilakukan bagi menyelamatkan rumah tangga mereka.

“Jika bukan ditakdirkan untuk anda, berapa lama pun anda cuba pertahankannya, ia tetap tak akan jadi milik anda.

“Sebab kita hanya merancang, tetapi Dia ada perancangan yang lebih baik,” katanya.

Pada 22 Sept lalu, Nabila mendedahkan bakal mengakhiri perkahwinannya bersama Engku Emran selepas lelaki itu menyatakan hasrat untuk tidak lagi meneruskan hubungan mereka.

Pasangan itu berkahwin pada 19 Mac 2021 dan mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Engku Emran sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga bersama bintang terkenal, Erra Fazira pada 25 Oktober 2007 dan mempunyai seorang anak perempuan, Engku Aleesya. Mereka bercerai pada 18 Feb 2014.

Selepas tiga tahun menduda, dia berkahwin dengan pelakon popular Indonesia, Laudya Cynthia Bella pada 8 September 2017 tetapi hanya bertahan selama tiga tahun.

Noor Nabila pula pernah berkahwin dengan Sharnaaz pada 31 Mac 2017 dan berpisah pada 9 Julai 2020. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden.

Sebelum menikahi Sharnaaz, Noor Nabila pernah mendirikan rumah tangga tetapi tidak dikurniakan cahaya mata.

Noor Nabila juga berserah kepada takdir dan berharap diberi ketabahan untuk berdepan dugaan hidupnya.

“Semoga Dia membimbing, merawat dan mengisi hati saya dengan ketenangan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS