Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fify Azmi risau babak tunjuk jari tengah undang masalah

Pelakon berbakat besar, Fify Azmi bimbang sekiranya aksi tunjuk jari tengah yang ditonjolkan dalam filem Fanna arahan Andy Weng Sum Liew boleh mengundang imej buruk terhadap dirinya.

Bagi Fify - yang memegang watak utama Fanna - gestur yang bermaksud isyarat lucah itu tidak wajar terus dipaparkan apatah lagi untuk disaksikan secara umum.

“Saya ingat aksi tunjuk isyarat jari tengah itu mereka (produksi) akan buang. Sampai beberapa kali jugalah aksi itu terdapat dalam filem ini.

“Kalau setakat dikaburkan, lebih baik tak payah ditayangkan. Buang saja babak itu,” katanya.

Sebagai pelakon, pemilik nama penuh Nur Afiqah Mohamed Azmi itu berkata sudah tentu dia harus akur dengan permintaan pengarah yang ingin memenuhi kehendak skrip bagi menghidupkan watak Fanna.

Pun begitu, pemenang Anugerah Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia ke-31 itu mengakui pada awalnya dia memang terkejut dengan permintaan berkenaan.

Namun katanya, dia menganggap ia sekadar lakonan, justeru sedia dikritik berhubung aksi kurang sopan itu.

“Pengarah yang suruh buat. Saya pun terkejut tapi okey saja untuk lakonkan.

“Pada mulanya memang nampak macam tak best. Tapi bila fikir balik, tak apalah. Benda macam ini tak ada masalah pun.

“Saya juga faham ada beberapa perkara yang tak boleh dipertontonkan, tapi ini filem dan bukan drama,” katanya.

Fify berkata demikian ketika ditemui selepas majlis tayangan perdana Fanna di sebuah kompleks beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur semalam.

Fanna memaparkan kisah aksi dan gangsterism dan ditulis oleh Azlina Pa’wan.

Naskhah itu diterbitkan oleh syarikat produksi Jaguar Lim Films & Productions dengan kerjasama Metrowealth sebagai pengedar.

Filem dengan klasifikasi P16 itu dijadual menjengah seluruh pawagam tanah air pada 28 September ini.

Selain Fify, Fanna turut dijayakan barisan pelakon seperti Syafie Naswip, Colleen Rosanna Augustin, Andy Black Tan, Rashid Salleh, Charles Nilbert, Kenji Sawahii, Sahronizam, Roy Azman, dan Aleza Shadan.

Sementara itu, Andy menjelaskan babak memaparkan isyarat jari tengah itu bertujuan menggambarkan satu aksi semula jadi yang biasanya menunjukkan emosi seseorang dalam kemarahan.

Katanya, Fanna juga telah diteliti pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) malah agensi kerajaan itu turut mencadangkan agar aksi itu tidak dibuang sebaliknya cuma dikaburkan.

“Saya fikir itu tak menjadi masalah. Tunjuk jari tengah biasanya aksi dibuat oleh seseorang yang terlalu marah.

“Perbuatan itu juga boleh disifatkan sesuatu yang dibuat secara semula jadi.

“Selepas dinilai LPF, mereka pun tak potong babak itu tapi minta kami kaburkan untuk tayangan,” katanya yang turut mengesahkan terdapat banyak lagi babak lain dipotong dalam filem berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS