Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Noh Salleh, Athira kini sah bergelar suami isteri
Diterbitkan:  Sep 23, 2023 2:31 PM
Dikemaskini: 6:31 AM

Vokalis Hujan, Noh Salleh selamat bergelar suami kepada Fatin Athira Mustapa pada pagi tadi.

Noh berkongsi berita gembira itu melalui Instagram dengan memuat naik imej dia bersama isteri duduk di atas pelamin selepas upacara akad nikah selesai.

“Athira dan Noh, 23 September 2023,” tulis kapsyen pada gambar berkenaan.

Turut mengiringi perkongsian itu, Noh menulis keterangan mengenai baju nikah mereka yang dihasilkan pereka fesyen, Fidae.

Penyanyi itu dilihat turut berkongsi semula beberapa ucapan tahniah buatnya yang kini kembali bergelar suami di Insta Story.

Noh dan Athira yang juga seorang peguam mengikat tali pertunangan pada Mei lalu manakala kad undangan untuk majlis perkahwinan pula mula tersebar sejak awal Ogos lalu.

Pada 17 Sept lalu, Noh berkongsi keterujaan untuk memperisterikan Athira apabila memperkenalkan wanita itu sebagai tunangnya sebelum mempersembahkan sebuah lagu di sebuah acara.

“Oh itu tunang saya… kita akan kahwin next week (dalam minggu ini).

“Lagu ini sesuai dengan doa kita sebagai pasangan yang hendak mendirikan sebuah masjid,” katanya mengenai lagu Biar Seribu yang menjadi simbolik kisah mereka.

Untuk rekod, Noh sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan aktivis kemanusiaan Mizz Nina pada 2 Julai 2011.

Biarpun perkahwinan itu tidak dikurniakan cahaya mata ia diserikan dengan kehadiran seorang anak angkat diberi nama Musa.

Noh dan Mizz Nina atau Shazrina Azman mengumumkan perceraian pada Ogos tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS