Penyanyi dan pelakon Khai Bahar mengakui hatinya pilu melihat keadaan kesihatan ibunya yang semakin merosot akibat penyakit buah pinggang.
Menurut Khai, ibunya mengalami masalah daya ingatan sejak tahun lalu sehingga tidak mengenali dirinya dan situasi itu kerap muncul setiap kali selesai menjalani rawatan dialisis.
Kata Khai, dia merindui saat-saat bersama ibunya, Rosnah Muhammad, 62 ketika insan yang melahirkannya itu masih sihat.
“Kalau dulu, apabila pulang ke kampung, maklah orang yang paling meriah dia akan masak pelbagai jenis lauk.
“Tapi kini, setiap kali habis jalani dialisis, mak biasanya akan lupa dan kadang-kala cakap merepek-repek.
“Pernah dia bertanya sama ada Hairul (gelaran untuk Khai) sudah pulang atau belum padahal saya berada di sebelahnya ketika itu,” kongsinya.
Penyanyi Luluh itu juga mengakui sukar untuknya menerima kenyataan apabila dimaklumkan doktor selain buang pinggang, terbaru ibunya turut disahkan menghidap masalah jantung dan paru-paru.
“Memang awal dulu berat untuk saya terima (kenyataan) sampai menitiskan air mata,” ujarnya.
Khai berkata demikian pada sidang media pelancaran single Pejam di sebuah hotel di ibu kota hari ini.
Pejam, lagu duet yang dinyanyikan bersama Adira Suhaimi adalah ciptaan sepenuhnya Audi Mok dan Shazee dan diterbitkan Nova Music.
Untuk rekod, pada 13 Sept lalu, Rosnah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur selepas sesak nafas. Ibu Khai itu juga sudah lama menderita penyakit buah pinggang.
Pada masa sama, pelakon Kisah Cinta Rumi itu mengakui tahun ini dia terpaksa menolak beberapa tawaran drama dan filem kerana keadaan kesihatan ibunya yang tidak mengizinkan.
Katanya, ia disebabkan lakonan memerlukan komitmen dan masa yang lebih panjang berbanding nyanyian.
Justeru, Khai, 29, bimbang seandainya tidak dapat memberi komitmen terhadap tawaran yang datang kerana perlu pulang ke Perlis lebih kerap.
Menurutnya, antara drama yang terpaksa ditolak adalah Kerana Cinta Itu Ada yang dibintangi Nabila Razali bersama Aedy Ashraf.
“Sepatutnya saya yang bergandingan dengan Nabila. Lagipun berlakon ada jadual dan ia libatkan ramai orang.
“Jadi saya tak nak susahkan banyak pihak seandainya ada kecemasan dan tak boleh teruskan penggambaran.
“Lagi pun doktor cakap ini adalah peringkat akhir masalah buah pinggang dan berisiko untuk menerima organ itu daripada penderma disebabkan mak ada masalah jantung.
“Justeru, kami adik beradik hanya berserah. Kami mahu jaga dia selagi hayatnya,” katanya.