Selepas 17 tahun, karya agung Sasterawan Negara A Samad Said, Lantai T. Pinkie akan dipentaskan semula di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, di Kuala Lumpur, pada 6 hingga 8 Okt ini.
Karya itu yang pernah mencetuskan fenomena di negara ini, akan dipentaskan secara muzikal untuk kali keenam, kekal menggunakan khidmat penerbit, pengarah dan komposer yang sama iaitu Siti Rohayah Atan, Dr Rosminah Mohd Tahir dan Allahyarham Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah.
Siti Rohayah yang juga pemilik CTRA Production berkata pementasan itu dibuat sebagai menyahut seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam usaha mempopularkan karya Sasterawan Negara.
"Tujuan utama pementasan ini adalah untuk memperkenalkan generasi baru kepada karya Sasterawan Negara kerana lazimnya, golongan ini tidak minat membaca… namun secara peribadi, saya suka akan karya ini kerana ia memaparkan realiti kehidupan yang sebenar," katanya pada sidang media teater muzikal berkenaan.
Siti Rohayah turut berharap usaha pementasan semula teater muzikal ini dihargai terutamanya daripada generasi baru kerana ia adalah aspek penting dalam pembangunan suatu bangsa.
Kali ini, teater muzikal Lantai T. Pinkie menampilkan penyanyi dan pelakon baru, Zera Hariz sebagai watak utama T. Pinkie atau nama sebenarnya Tengku Seindahkuno, seorang penari remaja dan cantik di Singapura yang menjadi rebutan ramai pengunjung di Bunga Joget Moden pada zaman 1950-an selepas Perang Dunia Kedua.
Pengarah teater muzikal itu, Dr Rosminah Tahir mengakui bersikap terbuka sekiranya ada pihak yang membandingkan Zera dengan tiga lagi watak T. Pinkie sebelum ini yang diterajui artis berbakat besar seperti Tiara Jacquelina (1997), Nasha Aziz (2000) dan Vanidah Imran (2006).
"(Perbandingan) itu, saya alu-alukan kerana daripada situ, kita dapat lihat masyarakat mengikuti perjalanan naskhah ini dan secara tidak langsung, menyokongnya. Silakan, saya tiada masalah.
"Bagi saya, setiap pelakon mempunyai identiti sendiri selain bakat dan latihan serta tunjuk ajar, juga semangat untuk menghayati watak. Jika ada tersama, mungkin kerana muziknya telah ditentukan. Kalau rasa dia seperti itu, mungkin dia mengidolakan orang seperti itu, bagaimanapun setiap individu ada keasliannya,” katanya.
Rosminah turut menyifatkan naskhah yang dipentaskan sejak 1997 itu sebagai sebuah karya berkualiti selain mempunyai sifat popular dan nilai komersialnya.
Sementara itu, A Samad yang juga dikenali sebagai Pak Samad turut melahirkan rasa gembira kerana karya yang ditulis pada 1996 itu kini boleh dihayati oleh generasi baru.
“Saya tidak tahu sama ada orang ingat (karya) atau judulnya sahaja atau lebih daripada lain-lain tetapi barangkali untuk anak muda yang baru berkenalan dengan drama, ia tentu (lebih) memberi kesan," katanya.
Selain Zera, teater muzikal ini turut menampilkan Faysal Saad sebagai Muhairi muda, Nabila Huda (Nyai Sunarti), Carolyne Kamba (Puteh Su), Linda Nanuwil (Siti Udaya) Jalaluddin Hassan (Jongkiding Jaroi), Tamimi Siregar (Muhairi tua), Zaifri Husin (S. Diman), Serra Kamal (Musalmah Jiing) dan Ewan Fauzi (Loiran Sindhu).
Ia mengisahkan Muhairi Tirus, seorang bekas pemain arkodian di Bunga Joget Moden yang hidup damai di Telok Melano, Sarawak, didatangi seorang mahasiswa, Loiran yang mahu mengkaji Hikayat Gul Bakawali. Permintaan itu menyebabkan Muhairi kembali mengenang kehidupannya sebagai pemuzik di Bunga Joget Moden pada zaman 1950-an.
Peminat boleh mendapatkan tiket pada harga RM35, RM56 dan RM159 di laman sesawang di www.ilassotickets.com atau hubungi 01113297822.
-Bernama