Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Neelofa: Nampak dua mata saja pun orang tetap nak kecam

“Kalau tutup semua, (cuma) nampak dua mata saja pun orang tetap kecam,” luah selebriti Neelofa berhubung komen segelintir pihak yang mendakwa imej ditonjolkannya baru-baru ini tidak sesuai sebagai Muslimah.

Namun, Neelofa selesa mengambil sikap berlapang dada jika cara berpakaiannya depan khalayak dikatakan kurang sesuai apatah lagi dia berpurdah.

Malah sejak bergelar isteri dia mengakui tidak timbul kerisauan dalam bab itu kerana suaminya, Haris Ismail - atau lebih dikenali PU Riz - memantau etika berpakaiannya.

“Sebelum keluar rumah, saya dapatkan dulu green light (izin) daripada suami. Apabila dia menegur sesuatu yang tak kena, saya akan perbetulkan kesilapan itu dengan menukar pakaian.

“Apabila suami kata OK, baru saya keluar rumah. Bagi saya, selagi pakaian itu tak menampakkan susuk tubuh, bentuk peha, betis dan tudung dilabuhkan, semua OK," katanya.

Selebriti yang terlibat dalam perniagaan itu menjelaskan dia cuba menjadi manusia yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Justeru katanya jika ada sesiapa yang mahu menegur, dia akan menerima dengan terbuka andai ia disampaikan dengan wajar.

Pada masa sama Neelofa berkata masih banyak yang perlu dipelajarinya.

Menurutnya lagi kecaman yang berterusan sudah didepani sejak dia menceburkan diri dalam pertandingan Dewi Remaja 2009/2010 dan menjuarainya.

Kata Neelofa dia seboleh-bolehnya cuba menangani tekanan yang datang dengan tidak terlampau memikirkan perkara tersebut.

“Bukan nak cakap saya kalis kecaman, tapi dah biasa berdepan hal itu, jadi untuk tidak terlalu tertekan kena bijak menangani pendapat negatif, ” katanya.

Sebelum ini, pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor itu dihujani kecaman melalui aplikasi TikTok kerana cara pemakaiannya yang dianggap sesetengah pihak agak singkat selain tidak menampakkan ciri-ciri sesuai wanita yang berpurdah.

Sementara itu, Neelofa, 34, meluahkan hasrat untuk kembali aktif dalam bidang seni selepas melahirkan anak keduanya, Abdullah Abbas, pada 11 Julai lalu.

Kata pengacara itu lagi, kariernya sudah mula bergerak pada minggu pertama bulan ini namun berdepan sedikit kekangan kerana perlu menguruskan anak-anak.

“Jaga dua orang anak memang mencabar, tak cukup 24 jam tapi perlu lebih.

“Kini, saya mengupah jururawat malam untuk jaga anak supaya dapat waktu tidur yang mencukupi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS