Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Caprice nafi Munafik Hunter mahu 'ambil kerja tuhan'

Caprice menafikan dia seakan-akan mengambil alih kerja tuhan apabila menubuhkan sebuah entiti dikenali sebagai Munafik Hunter di media sosial baru-baru ini.

Sebaliknya kata penyanyi rap itu, NGO berkenaan diwujudkan sebagai salah satu cara dia mahu membela nasib mangsa gangguan atau serangan seksual khususnya membabitkan individu berpengaruh.

Kata Caprice kebanyakan netizen di negara ini masih berfikir secara konservatif dan "ke belakang" sehingga mereka menganggap dia mahu melakukan kerja tuhan.

Padahal, katanya, membela nasib orang yang dianiaya adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam.

“Mentaliti netizen segelintirnya ke belakang. Saya bukan cuba buat kerja Tuhan.

“Di negara ini banyak kes (seksual) melibatkan individu seperti guru, ustaz, bapa, pak cik yang kita tak sangka boleh melakukan perbuatan terkutuk seperti rogol, atau pedofilia misalnya.

“Tapi malangnya tak ramai orang yang berani melawan golongan berkenaan.

"Apabila saya tampil berbuat sesuatu begini, ia ibarat saya adalah seorang Avengers (adiwira) yang membela nasib mangsa,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Thor-X di sebuah kompleks beli-belah di ibu kota semalam.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menjelaskan, setiap kali berlaku jenayah seksual, perkara paling sukar untuk dilakukan bagi menghukum seseorang suspek ialah mendapatkan bukti.

Justeru, dia berharap Munafik Hunter boleh dijadikan platform untuk orang ramai membuat aduan dengan mudah sebelum disusuli dengan tindakan lanjut.

Tambahnya, sejak NGO itu diuar-uarkan kepada orang ramai, pihaknya sudah menerima ratusan aduan berkaitan jenayah seksual.

Selain itu, Caprice juga mendakwa Munafik Hunter menerima lebih 500 permohonan daripada individu yang berhasrat menjadi sukarelawan untuk sama-sama berjuang dengannya menangani isu berkenaan.

“Cuma saya perlu tapis permohonan itu. Mungkin antara mereka termasuk individu daripada golongan profesional,” katanya.

Diminta mengulas dakwaan segelintir pihak yang menyindir rancangan itu sebagai tidak bermakna kerana isterinya, Farra Inalis, masih tidak memakai tudung, Caprice memberi jawapan yang bersahaja.

Mengakui ia melibatkan isu dosa dan pahala, Caprice berkata tidak memakai tudung bukanlah menyebabkan penderitaan kepada seseorang yang lain.

“Itu saja modal netizen. Isteri saya tak pakai tudung bukan jenayah yang dibuat terhadap orang lain.

“Munafik Hunter cuma cuba (membantu) menangkap pelaku jenayah,” katanya sambil menjelaskan nama Munafik Hunter dipilih bagi menimbulkan kegerunan tersendiri kepada pihak yang berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS