Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zaiton Sameon terpaksa menaruh harapan pada JKM

Tiada tawaran pekerjaan mengakibatkan kehidupan penyanyi popular era 1980-an, Zaiton Sameon semakin perit hingga memaksanya memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, dia memang memerlukan bantuan bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas hampir tiga tahun hidup dalam keadaan terdesak.

“Sebenarnya, saya malu nak meminta-minta, selagi ada kudrat saya ingin cari duit sendiri. Bagaimanapun, job nyanyian makin berkurangan, sejak akhir-akhir ini.

“Kadang-kala sebulan sekali nak dapat job pun susah. Kalau dapat sekalipun taklah banyak, selalunya tiga lagu saya dibayar antara RM1,000 hingga RM 1,500.

“Jika sebulan ada dua show pun sudah memadai, tapi kebanyakan penganjur tak yakin kerana menyangka saya tak boleh menyanyi,” katanya dipetik BH Online.

Menurut penyanyi Menaruh Harapan itu, pelbagai usaha dilakukan termasuk menjual rendang, namun terpaksa menghentikan perniagaannya akibat kurang sambutan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kata Zaiton, 67, sebelum ini, dia masih boleh bergantung kepada jualan rendang yang mendapat sambutan menggalakkan setiap kali menyertai karnival jika tiada undangan nyanyian.

Namun, katanya, perniagaannya itu semakin perlahan dan tidak lagi menerima undangan menyertai bazar di Singapura.

“Dalam sebulan saya akan sertai dua bazar dan keuntungan setiap bazar cukup menampung hidup.

“Apabila jualan rendang makin berkurangan memaksa saya menghentikan perniagaan. Saya juga sudah tak diundang ke Singapura untuk berniaga.

“Ini kerana terlalu ramai artis yang mahu turut serta, jadi penganjur pilih artis,” katanya.

Sejak beberapa hari lalu, nasib Zaiton kembali diperkatakan apabila dia mengaku amat memerlukan bantuan kewangan bulanan daripada JKM bagi menyara hidup.

Selain KPWKM, kepayahan penyanyi berasal dari Rembau, Negeri Sembilan itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Semalam, perdana menteri menghantar wakil bagi menghulurkan sejumlah wang bantuan dan bakul makanan.

Sesi penyerahan dilakukan oleh Setiausaha Politik, Ahmad Farhan Fauzi; Pengarah Bahagian Pembangunan Pejabat Perdana Menteri; Khairy Maamor, wakil Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor dan JKM Hulu Langat.

Zaiton seboleh-bolehnya tidak mahu menyusahkan orang sekeliling terutama keluarga angkat di Ampang, Selangor yang banyak membantu selama 12 tahun dia menumpang di kediaman tersebut.

Namun, dia tidak mempunyai pilihan sekiranya terus berdiam diri. 

“Sekurang-kurangnya jika ada duit, bolehlah saya bayar sebahagian duit sewa rumah yang bernilai RM1,000 sebulan atau beli keperluan harian.

“Apabila tiada job macam mana saya nak hulurkan apa yang patut? Itupun keluarga angkat banyak tolong dan tak pernah berkira.

“Jika tiada anak angkat, Che Sikah Ismail dan keluarganya, tak tahu bagaimana nasib saya," katanya.

“JKM berjanji akan menyegerakan permohonan bantuan bulanan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pula mempertimbangkan bantuan berkadar RM500,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS