Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dalam 'mengarut' celoteh Zarul di YouTube ada isi

“Sekurang-kurangnya, saluran YouTube saya bukan sampah,” demikian luah penyanyi Zarul Umbrella yang tidak menyangka kandungan dimuat naik di platform media sosial itu turut membantu sesetengah orang.

Menurut Zarul, pelbagai tip mengenai kerjaya sebagai pramugara dan pramugari yang dikongsikan di saluran berkenaan boleh membantu seseorang yang berminat menjalani temuduga.

Itulah antara manfaat yang tidak disangka-sangkanya dapat dikongsikan di sebalik pelbagai kandungan yang dimuat naik.

“Sewaktu berada dalam sebuah kedai kasut, saya didatangi seorang lelaki Cina.

“Dia berterima kasih kepada saya kerana baru diterima bekerja di Singapore Airlines dan akan melapor diri dengan syarikat berkenaan dalam tempoh dua minggu lagi.

“Katanya, dia menjadikan saluran YouTube saya khususnya episod wawancara sebagai kru kabin sebagai rujukan sebelum menghadiri temuduga berkenaan,” katanya.

Tambah Zarul atau nama penuhnya Zairulkefli Husin itu, memang pada sesetengah orang, kandungan yang dikongsikan di YouTube itu mungkin dianggap sekadar sembang kosong.

Namun sebenarnya, tambah penyanyi Ramalanku Benar Belaka itu, ada banyak perkara menarik dan berguna mengenai industri penerbangan turut diselitkan.

“Mungkin orang ingat saya hanya membebel, tapi dalam 'mengarut' itu ada juga pengajaran yang disampaikan.

“Banyak juga perkara dikongsikan yang orang tak pernah terfikir mengenai kerjaya di awan biru,” katanya yang turut berkongsi mengenai tip penerbangan di akaun TikTok miliknya.

Bekas pramugara yang pernah berkhidmat selama 17 tahun itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis Finale GV Jamming With The Stars di sebuah restoran di ibu kota baru-baru ini.

Mengulas mengenai faedah sampingan didapati melalui perkongsian di YouTube itu, Zarul berkata, dia berjaya meraih pendapatan sekurang-kurang empat angka sebulan.

Pun begitu, Zarul enggan mengulas secara terperinci mengenai jumlah berkenaan.

“Kena ada 300 hingga 400 view di YouTube baru 'sedap' (jana pendapatan)," katanya yang berkecimpung dalam YouTube sejak 2019.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS