Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ismahalil ampunkan siapa saja pernah mengkhianati

Menyifatkan pengalaman dua tahun di balik jeriji besi suatu hikmah yang “mahal” penyampai radio dan pengasas Bapakku FM, Ismahalil Hamzah berkata, dia tidak mahu menyalahkan sesiapa atas takdir yang menimpanya.

Membayangkan wujud dalang di sebalik pemenjaraannya, Ismahalil kini memilih untuk mengampunkan walau sesiapa pun yang pernah berniat jahat terhadap dirinya.

“Walaupun saya tahu apa yang berlaku (aniaya), demi Allah, saya tak pernah nak menyalahkan orang lain.

“Saya tak ada masa untuk menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku. Yang sudah itu sudah... apa yang penting ialah hikmah itu mahal," katanya yang menegaskan enggan berdendam.

Bagi Ismahalil, 50, peluang kedua untuk membina hidup baru selepas dua tahun dipenjarakan harus digunakan dengan sebaik-baiknya.

Malah katanya, sekarang juga bukanlah masa untuk dia menyakitkan hati sesiapa.

"Sekarang adalah masa untuk merawat hati dan bersangka baik.

“Saya juga doakan agar orang yang menganiaya saya dan diri sendiri agar sama-sama mendapat hidayah.

“Saya mahu hapuskan dosa agar tiada apa lagi yang buruk berlaku,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Mat Kola di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya malam semalam.

Pada 17 Julai Ismahalil didapati tidak bersalah atas pertuduhan mengedar 374.6 gram dadah jenis kanabis kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

Ismahalil didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan minimum 12 sebatan.

Kata Ismahalil, dia tidak kisah jika masih ada pihak beranggapan tidak wajar dia dilepaskan daripada pertuduhan tersebut.

“Saya sudah lalui proses (perbicaraan), ada proses pertuduhan, ada prima facie, ada pembelaan diri. Cuma ketika proses bela diri itu, saya ada saksi di tempat kejadian.

“Ini membawa kelebihan kepada pihak pembelaan.

“Jadi, jika masih ada orang yang anggap negatif (tak wajar dilepaskan) itu saya sudah lali. Saya sudah lali orang bercakap buruk mengenai saya sejak dulu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS