Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anak digelar sundal, Che Ta: Buku belum bertemu ruas lagi

Pelakon Rozita Che Wan tidak dapat menahan marah yang meluap-luap apabila anaknya, Aaisyah Dhia Rana, diumpamakan sebagai sundal oleh seorang pengacara veteran.

Kata Rozita atau mesra disapa Che Ta itu, dia tertanya-tanya mengapa individu terbabit seperti sengaja mahu membangkitkan kemarahannya sedangkan kemelut yang pernah wujud di antara mereka sudah berakhir.

Menurutnya lagi dia enggan memanjangkan perseteruan dengan individu terbabit namun terpaksa bersuara selepas anaknya digelar dengan panggilan menghina.

“Ada orang hantar (paparan skrin) itu dekat saya… jadi, apa masalah (dia) yang tiba-tiba ini?” katanya.

Pada masa sama pelakon Jangan Tegur itu memberitahu, dia tidak kisah sekiranya pengacara terbabit mahu ‘mencari pasal’ dengannya namun ia tidak sepatutnya melibatkan Aaisyah Dhia.

“Saya tak kisah kalau dia nak maki-maki saya. Aku sembilan bulan 10 hari mengandung anak aku, jentik, marah pun tak pernah tapi kenapa kau pulak yang nak maki anak aku?

“Kau p*****, tak ada anak, bukan bapa dan juga bukan mak, jadi jangan sedap-sedap cakap anak aku macam itu,” katanya.

Rozita, 50, berkata demikian pada majlis tayangan perdana filem terbaru lakonannya, Mat Kola, di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya malam tadi.

Filem arahan Hafiz Nafiah itu bakal menemui penonton di 65 pawagam seluruh tanah air pada 21 Sept ini. Turut menjayakan naskhah itu ialah Usop Mentor, Taiyuddin Bakar, Azman Ahmad, Putri Hanan dan Ropie.

Karya menggunakan hampir sepenuhnya dialek Kedah itu berkisahkan persahabatan tiga anak jati Kuala Kedah iaitu Mat Ki lakonan Usop, Mat Yon (Azman) dan Mat Not (Taiyuddin Bakar).

Cerita berkisar mengenai gelagat dan liku hidup dilalui tiga sahabat mengusahakan gerai burger yang menjadi sumber ekonomi golongan belia.

Terdahulu, seorang pengacara memuat naik perkongsian di Facebook yang mendakwa ada pelakon sudah berusia dan suka memakai bulu mata lebat menggunakan ilmu hitam ke atas dirinya.

Pada hantaran tersebut, pengacara terbabit turut menujukan kata-kata kesat kepada anak Rozita yang sedang meningkat remaja itu.

Konflik antara kedua-dua penggiat seni itu tercetus sejak 2021 selepas seorang daripada mereka mencaci pakaian seorang lagi sewaktu mendapatkan suntikan vaksin.

Perkara itu berlaku meskipun mereka dikatakan sudah mengenali satu sama lain agak lama malah langsung tidak pernah berlaku ketegangan sebelumnya.

Kata Rozita, dia menganggap tindakan pengacara terbabit sebagai keterlaluan dan terlampau menyakitkan hatinya.

“Dia belum buku bertemu dengan ruas lagi..., ” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS