Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Jasmin ampunkan pencaci tubuh menjelang pembedahan esok
Diterbitkan:  Sep 14, 2023 6:19 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Pelakon Jasmin Hamid mendedahkan badannya selama ini gemuk - lalu sering dikecam dan disindir oleh sesetengah orang - berlaku kerana dia sedang bertarung nyawa akibat kanser rahim.

Kata Jasmin, kata-kata penghinaan itu memang menyebabkan perasaannya terluka, lebih-lebih lagi apabila ia dibuat tanpa mereka mengetahui punca ia jadi begitu.

“Hari ini, saya dedahkan puncanya. Ia disebabkan saya ada cyst yang mengakibatkan hormon jadi huru-hara hingga terjadi pendarahan pada rahim,” katanya di media sosial.

Jasmin, 50, menjelaskan menjadi sasaran kecaman juga membuatkan dia berasa tertekan untuk berjumpa dengan sesiapa juga.

Pada masa sama dia berkata tiada siapa pun mengambil peduli untuk bertanyakan kesihatan dirinya.

"Tak ada siapa dalam duni ini nak jadi gemuk termasuklah saya,” katanya.

Justeru pelakon Hati Tanpa Rasa itu memohon orang ramai berdoa untuknya dan berharap urusan pembedahan yang dijadual berlangsung esok berjalan lancar.

Katanya, pembedahan kecil itu bagi memulihkan dirinya daripada kanser rahim.

“Hari ini saya dimasukkan ke hospital dan esok iaitu tarikh ulang tahun hari jadi 15 Sept saya akan jalani pembedahan kecil.

“Saya mohon doa dari kalian untuk Allah lancarkan dan permudahkan semua pembedahan ini.

“Terima kasih pada mereka yang sudi doakan kebaikan untuk saya dan saya kembalikan doa yang baik-baik untuk kalian.

“Semoga semuanya baik-baik saja dan saya boleh sambung kerja-kerja saya seperti biasa,” katanya.

Sebelum menjalani pembedahan itu esok, Jasmin juga berkata, dia sudah memaafkan mana-mana individu yang mengutuk bentuk tubuhnya sebelum ini.

“Jadi pada yang sesuka hati kutuk fizikal badan saya, saya maafkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS