Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
KDN haramkan filem Mentega Terbang
Diterbitkan:  Sep 13, 2023 6:56 PM
Dikemaskini: 12:25 PM

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan bagi penayangan filem kontroversi berjudul Mentega Terbang.

Pewartaan ke atas filem arahan Khairil Anwar itu bertarikh 1 Sept dan dibuat mengikut Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023.

Perintah berkenaan ditandatangani Menteri Dalam Negeri Saifudin Nasution Ismail pada 21 Ogos lalu.

Dalam warta yang dimuatnaik di laman web Jabatan Peguam Negara itu, perkara tersebut dilaksanakan di bawah Akta Penapisan Filem 2002.

“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 26 Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620), menteri membuat perintah yang boleh dinamakan Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023.

“Menteri melarang penayangan, pempameran, pengedaran, pemilikan, penyebaran atau penjualan filem yang diperihalkan dalam jadual yang bertentangan dengan kepentingan awam di seluruh Malaysia.

“Bagi maksud perintah ini, filem yang disebut dalam subperenggan hendaklah termasuk bahan publisiti filem itu,” menurut warta tersebut.

Filem yang dimaksudkan dalam jadual berkenaan merujuk kepada Mentega Terbang terbitan syarikat Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment.

Mentega Terbang yang ditayangkan melalui platform penstriman mencetuskan kontroversi pada awal tahun ini.

Ia antaranya mengundang perhatian Menteri Hal Ehwal Agama, Mohd Na’im Mokhtar yang berkata penelitian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap Mentega Terbang mendapati filem berkenaan bertentangan dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia.

Skrip filem itu yang ditulis bersama Khairi, Arjun Thanaraju dan Ting Teng Hui mengisahkan remaja Muslim bernama Aishah tertarik kepada agama dengan konsep kelahiran semula selepas kematian sebagai makhluk lain sebagai balasan.

Dalam satu babak, Aishah juga meminta untuk memakan pau daging babi selain bapanya membenarkan remaja itu memilih agama untuk dianuti.

Khairil ketika ditemubual Malaysiakini pada Mac lalu berkata, dia tidak gentar jika berdepan ancaman keselamatan kerana sebagai sutradara dia bertanggungjawab untuk mengetengahkan isu semasa yang jarang diketengahkan pihak lain.

Pada bulan sama, polis memaklumkan menerima lapan laporan berhubung filem itu dengan satu kertas siasatan dibuka.

Kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), D5 Bukit Aman di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.Me


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS