Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Video 'Helo Kuala Lumpur' di Youtube cetus kontroversi di Indonesia

Video lagu bertajuk ‘Helo Kuala Lumpur’ di saluran Lagu Kanak TV di YouTube mencetuskan kontroversi di kalangan netizen Indonesia yang mendakwa lirik dan melodinya serupa dengan lagu yang berasal dari Indonesia, ‘Halo, Halo Bandung’.

Menurut media Indonesia, saluran Lagu Kanak TV yang didakwa berasal dari Malaysia memuat naik video lagu itu pada 2018 dan sekali lagi pada 2020 di saluran sama.

“Lagu ‘Hello Kuala Lumpur’ hampir sama dengan lagu yang berasal dari Indonesia iaitu ‘Halo, Halo Bandung,’ menurut CNBC Indonesia yang membandingkan beberapa lirik dalam dua video lagu itu.

CNN Indonesia pula melaporkan, lagu 'Helo Kuala Lumpur' hanya menukar beberapa perkataan lain daripada lirik asal 'Halo, Halo Bandung' hasil karya seniman maestro Betawi, Ismail Marzuki.

Video lagu di saluran Lagu Kanak TV itu menjadi topik perbualan di platform X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, sejak Isnin kerana melodinya sama dengan 'Halo, Halo Bandung.'

Ismail, atau lebih dikenali sebagai Bang Maing, dilahirkan di Jakarta pada 11 Mei 1914 dan meninggal dunia pada 25 Mei 1958, serta dianugerahkan gelaran anumerta Pahlawan Nasional Indonesia pada 2004.

Menjawab dakwaan pelanggaran hak cipta dalam lagu yang tersebar di YouTube itu sejak 2018, Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono berkata pihaknya masih mengumpul bukti berhubung plagiarisme itu.

"Kami masih mengumpul maklumat yang lebih lengkap," katanya seperti dipetik Tribunnews.com.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS