Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
PM, menteri ucap takziah pada keluarga arwah Raymond Goh
Diterbitkan:  Sep 12, 2023 3:33 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga penyampai berita Nightline TV3 Allahyarham Raymond Goh atau Muhammad Zaman Goh, yang meninggal dunia pagi tadi.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini, Anwar mendoakan semoga keluarga Allahyarham tabah menghadapi dugaan itu.

“Dunia penyiaran akan merindui Allahyarham dan sudah pastinya juga, jasa beliau akan terus dikenang buat selama-lamanya. Al-Fatihah,” katanya.

Terdahulu, penyampai berita veteran itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dimasukkan ke hospital di Petaling Jaya, Selangor pada 30 Ogos lepas.

Allahyarham yang telah berkhidmat dalam dunia penyiaran lebih 30 tahun itu, memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 o’clock news dan kemudian beralih kepada Nightline di stesen televisyen berkenaan.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga penyampai berita veteran TV3 Raymond Goh yang meninggal dunia hari ini.

Fahmi dalam hantaran di Facebook mendoakan keluarga Allahyarham tabah dengan ujian itu.

Keluarga Allahyarham dalam kenyataan hari ini berkata Goh menghembuskan nafas terakhir dengan tenang pagi tadi selepas dalam keadaan kritikal akibat diserang penyakit angin ahmar.

Menurut keluarga Allahyarham, jenazah akan disolatkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, di sini selepas solat Asar dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara hari ini.

Goh, yang nama Islamnya Mohd Zaman Goh memulakan kerjayanya sebagai penyampai berita bagi “7 O’Çlock News” sebelum beralih ke buletin berita “Nightline” di TV3.

Sebagai penyampai berita veteran dengan lebih 30 tahun pengalaman, Allahyarham turut melatih individu dalam bidang pengucapan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS