Selepas menanti hampir 20 tahun, impian pelakon Hafiz Nafiah untuk duduk di bangku pengarah akhirnya menjadi kenyataan apabila dia tampil dengan filem bergenre komedi, Mat Kola.
Hafiz berkata, dia menunggu sekian lama untuk merealisasikan impiannya kerana menimba ilmu dalam dunia belakang tabir produksi sebelum bersedia di kerusi pengarahan.
Justeru, menurut pemilik nama penuh Mohd Hafiz Mohd Nafiah itu, Mat Kola diharap boleh menjadi titik permulaan untuk membuktikan kerjayanya sebagai pengarah.
“Berbekalkan pengalaman luas sedia ada, barulah saya bersedia untuk menggalas kerusi pengarah.
“Saya percaya tidak semua orang akan dapat peluang keemasan itu.
“Saya juga sudah lama sedia untuk mengarah drama, tetapi tawaran yang datang adalah projek filem dulu,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Hafiz, bersyukur kepada penerbit Syarikat AA Success Pictures, kerana memberi peluang dan kepercayaan itu.
“Saya sudah kenal Azman Ahmad sejak 20 tahun lalu.
“Azman mencadangkan nama saya sebagai pengarah kepada Penerbit Eksekutif, Mahamad Pozi Mansor atau Abang Chot.
“Idea asal filem Mat Kola adalah dari Azman, tapi penulis skripnya adalah Pijon yang memang sudah biasa menulis cerita dialek utara (Kedah),” katanya.
Filem itu menampilkan barisan pelakon seperti Rozita Che Wan (Che Som) Ropie (Pak Sheikh), Putri Hanan (Maliah), Fendi London (Bang Lah), Mohd Hafeezul Yop (Joe Klipop), Abang Gee (Abang Gee), Zainon Ismail (Bang Non), Suhaili Che Rus (Zali), Cikgu Akop (Pak Hashim) dan Pak Abang (Badrul).
Mat Kola bakal ditayangkan di 65 pawagam seluruh tanah air bermula 21 September ini.
Bercerita pembabitan awalnya dalam bidang seni, kata Hafiz, dia mula memasuki bidang seni sebagai penyanyi nasyid ketika masih menuntut di tingkatan empat.
Menurutnya, selepas tamat persekolahan, dia mula bekerja dengan kumpulan nasyid popular Rabbani selama dua tahun.
“Ketika Rabbani bernaung di bawah KRU, saya juga sertai sebagai pegawai perhubungan awam kepada Kumpulan Phyne Ballerz.
“Selepas itu, saya mula pergi uji bakat di Metrowealth (MIG) dan dapat tawaran watak ekstra dalam filem Kuliah Cinta arahan pengarah, A Razak Mohaideen pada 2004,” katanya.
Bermula dari situ, kata Hafiz, dia ditawarkan bekerja sebagai kru belakang tabir milik produksi A Razak.
Menurut pelakon Dunia Baru itu, pada awal dia terpaksa bermula dari bawah sebelum diberi jawatan lebih tinggi.
“Saya bermula sebagai runner, pembantu produksi, handyman, pengurus produksi dan konti termasuklah terbabit dalam kumpulan teknikal dalam pelbagai jawatan sehinggalah diberi peluang menjadi penolong pengarah.
“Saya dapat memegang jawatan penolong pengarah dalam filem A Razak. Antaranya, filem lakonan Aznil Nawawi dan Nasha Aziz,” katanya yang sudah hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia lakonan.
Selaku penerbit penyelaras, pengarah dan lakon layar filem Mat Kola, kata Hafiz, nama ‘Mat Kola’ dipilih kerana filem itu menceritakan kisah tiga anak jati Kuala Kedah iaitu Mat Ki (Usop Mentor), Mat Yon (Azman Ahmad) dan Mat Not (Taiyuddin Bakar).
Tambahnya, penggambaran filem pula membabitkan kos mencecah RM1 juta dan ia berlangsung pada Oktober 2021 dalam tempoh hampir tiga minggu.
“Filem ini mengambil masa selama dua tahun untuk ditayangkan kerana banyak kekangan seperti proses suntingan, bahagian teknikal dan sebagainya,” katanya.
Berkongsi jalan cerita pula, kata Hafiz, dia mahu menghasilkan filem yang mudah difahami dan menghiburkan penonton.
Menurutnya, jalan cerita filem itu santai mengenai kisah peniaga burger serta berharap ia boleh menaikkan semangat mereka untuk terus berniaga.
“Itu adalah plot utama dan dibantu sub plot lain.
“Saya akui bukan mudah untuk mengarah genre komedi kerana saya juga baca skrip berulang kali dan merombaknya banyak kali sebelum saya imaginasikan dan beri penerangan pada pelakon,” katanya.
Ditanya barisan pelakon, kata Hafiz, semua pelakon utama dan pembantu sangat profesional dan memberikan kerjasama terbaik di lokasi penggambaran.
“Rata-rata pelakon dari Kedah dan mereka tiada masalah untuk melontarkan dialek utara serta semuanya kelakar,” katanya.