Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anak Norman Hakim dan Abby Abadi akui kesilapan diri
Diterbitkan:  Sep 9, 2023 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Anak pelakon Norman Hakim dan Abby Abadi tampil bersuara selepas tular dirinya dikaitkan sebagai orang ketiga atau ‘penyondol’ rumah tangga seorang wanita anak dua baru-baru ini.

Marissa Dania Hakim yang pempengaruh media sosial mengakui kesilapan yang dilakukan dan mengambil tanggungjawab di atas apa yang berlaku.

“Saya mengaku salah. Apa yang ditularkan ada yang benar, saya mengaku.

“Persepsi kamu mungkin bukan realiti saya. Semua yang berlaku semuanya di bawah tanggungjawab saya.

“Kedua ibu bapa saya telah memberi didikan yang terbaik, menegur kesalahan, serta menghalang perkara sebegini daripada berlaku.

“Tapi semua yang berlaku adalah pilihan sendiri. Jadi, biarlah saya yang perbetulkan kesilapan ini dan bukannya ibu bapa saya,” katanya di media sosial hari ini.

Bagaimanapun, tegas Marissa, 18, tidak semua cerita tentang dirinya yang ditularkan itu adalah benar dan tidak adil untuk mendengar kenyataan daripada sebelah pihak semata-mata.

“Kenyataan ini bukan untuk mempertahankan kesilapan saya. Namun saya tak perlu meyakinkan dan memuaskan hati semua pihak.

“Antara saya dan pihak yang menularkan kontroversi, saya sudah tiada kaitan dengan mereka.

“Cukuplah semua kenyataan yang dikeluarkan untuk memberitahu satu dunia bahawa saya bersalah, bahawa saya punca dia melanggar taklik dan penceraian berlaku,” katanya lagi.

Terdahulu, di aplikasi X, seorang wanita mendakwa Marissa merupakan penyebab kepada runtuhnya mahligai yang dibina bersama bekas suami.

Lebih mengejutkan, dia turut memuat naik tangkap layar notifikasi tempahan emel yang mendakwa Marissa dan bekas suaminya pernah menginap bersama di hotel.

Susulan kontroversi itu, nama Marissa sohor kini di aplikasi berkenaan semalam.

Sementara itu, Marissa turut mendakwa hubungannya dengan lelaki terbabit sudah berakhir.

Dia turut menafikan dakwaan mereka pernah keluar bersama bagi meraikan penceraian lelaki itu dengan bekas isterinya.

“Mungkin ramai yang membuat andaian terhadap kami. Tapi cukuplah saya dan dia saja tahu dari mula hingga ia berakhir.

“Saya ingin beritahu kami tidak pernah raikan apa-apa selepas mereka pulang dari mahkamah seperti yang ditulis,” katanya.

Ujar Marissa lagi, dia tidak mungkin dapat menutup mulut netizen yang ingin menyuarakan pandangan berkenaan perkara itu namun mengingatkan mereka agar jangan sehingga mengeluarkan fitnah.

“Netizen akan menjadikan isu ini lebih rumit seperti yang anda saksikan.

“Saya tak boleh tutup mulut semua orang. Jadi, jaga mulut kalau rasa nak berkata-kata. Jangan sampai jatuh fitnah atau menghina,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS