Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Klon P Ramlee, Fairuz Misran meninggal dunia
Diterbitkan:  Sep 8, 2023 6:13 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Penyanyi yang sering mendapat julukan klon Allahyarham P Ramlee, Fairuz Misran, dilaporkan meninggal dunia di Labuan hari ini.

Berita dukacita itu dikongsikan oleh abangnya, Ruzaidi Misran melalui hantaran di Facebook.

“Innalillahiwainnailaihirojiun... Menerima perkhabaran sedih bahawa adik disayangi, Fairuz Misran kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

“Mohon semua agar mendoakan dan sedekahkan al-Fatihah buat Allahyarham.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Menurut laporan, Fairuz meninggal dunia ketika usianya mencecah 38 tahun namun punca kematiannya belum dapat dikenal pasti.

Sementara itu, menurut satu perkongsian di Facebook, adik allahyarham, Sazlieyanti memaklumkan bahawa abangnya itu mengalami sakit dada dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke hospital.

Katanya, ramai yang menghubungi untuk mengetahui punca abangnya itu meninggal dunia.

“Alhamdulillah arwah pergi dengan senang. Hanya sakit dada dan pengsan lalu dibawa ke hospital.

“Sampainya, di hospital, dia dikhabarkan sudah tiada, di hari Jumaat yang mulia ini, hari yang dicemburui oleh semua orang,” katanya.

Bagaimanapun, Sazlieyanti berkata, urusan pengebumian belum lagi dimuktamadkan oleh ahli keluarga setakat ini.

“Sekarang masih di Labuan dan dalam perbincangan antara keluarga sama ada akan dikebumikan di Labuan (tempat isteri) atau di Kimanis, Papar (kampung arwah),” ujarnya.

Fairuz dikenali dengan gelaran klon P. Ramlee kerana dia mempunyai rupa paras dan vokal yang mirip dengan Seniman Agung itu.

Dilahirkan di Sandakan, Sabah, Fairuz berjaya menempa nama dalam industri hiburan selepas menjuarai pertandingan Bintang P.Ramlee peringkat kebangsaan anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) pada tahun 2012.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS