Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Habis RM10j, 7 tahun Habsah masih tunggu kesudahan kes penipuan

Penerbit dan penulis lirik, Habsah Hassan, mendakwa dia tiada pilihan selain bergolok-gadai termasuk menggunakan tanah demi menampung kos guaman selepas nama syarikatnya disalahgunakan seorang ‘penjual kenderaan bebas’ bagi memanipulasi wang pinjaman berjumlah RM23 juta.

Habsah berkata, setakat ini perbelanjaan yang sudah dikeluarkannya bagi membersihkan nama syarikat Tenaga Wan Bersaudara daripada terus menjadi kambing hitam individu terbabit mencecah RM10 juta.

Dakwanya, modus operandi ‘penjual kenderaan bebas’ itu adalah menggunakan nama Tenaga Wan Bersaudara dan dokumen palsu bagi memohon pinjaman sebelum individu terbabit melarikan wang berkenaan.

“Wang berkenaan diperoleh daripada tiga syarikat pinjaman antarabangsa yang tak berlesen dan berasal dari Korea Selatan .

“Semua jumlah pinjaman daripada tiga syarikat yang berpangkalan di Korea Selatan, Jerman dan Kuala Lumpur itu berjumlah RM23 juta.

“Saya tak ada pilihan lain selain terus lawan di mahkamah walaupun dah habis jutaan ringgit bergadai tanah demi mendapatkan keadilan,” katanya kepada Malaysiakini.

Penulis lirik Gerimis Di Lautan dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad itu mengesyaki kes penipuan berkenaan didalangi orang dalaman syarikat pemberi pinjaman wang itu sendiri.

Kata Habsah, 74, agak mustahil pinjaman sebanyak itu boleh diluluskan tanpa mendapat pengesahan daripada dirinya selaku pemilik Tenaga Wan Bersaudara.

Bukan setakat itu, katanya, pelaku turut didakwa seorang penjual kereta yang arif dalam selok-belok perniagaan.

Bagaimanapun, dakwa Habsah, selepas turun naik mahkamah sejak 2016, kes penipuan itu masih belum selesai.

Penulis lirik Merisik Khabar itu juga mendakwa, dia melaporkan kes penipuan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada 8 Jun 2016 selain merujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada awal 2022.

Bagaimanapun katanya sehingga kini dia masih menunggu maklum malas pihak berkuasa berhubung perkembangan siasatan tersebut.

“Saya harap si penipu ditangkap segera dan dibawa ke muka pengadilan serta kes ini diadili dengan telus, amanah dan bermaruah.

“Tujuh tahun dah berlalu, siasatan masih belum selesai. Pelaku masih bebas dengan duit jutaan ringgit yang diperolehi daripada kegiatan penipuan.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan SPRM untuk mendapatkan komen mereka mengenai aduan dibuat Habsah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS