Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Sazali P Ramlee susah betul-betul, bukan ‘cobaan’
Diterbitkan:  Sep 6, 2023 11:45 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Anak allahyarham P Ramlee, Sazali dan isterinya, mengakui kesusahan yang dialami bukan dibuat-buat malah sememangnya mereka memerlukan bantuan kewangan segera.

Justeru, Sazali dan Hamidah Hitam berasa lega dan cukup terharu apabila Perdana Menteri (PM) Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan bantuan ketika mereka berada dalam keadaan kesempitan kewangan.

Kata Sazali, selepas kontrak royalti P Ramlee selama 50 tahun tamat, dia tidak tahu ke mana arah hendak dituju bagi membiayai kos pembedahan isterinya yang berdepan masalah tulang belakang dan saraf leher.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada PM Anwar diatas sumbangan dihulurkan sebanyak RM14,000 sebagaimana saya perlukan untuk menampung kos pembedahan isteri yang sakit ketika ini dan sudah lama menghidapi penyakit itu.

“Saya juga ucapkan terima kasih kerana sememangnya memerlukan bantuan. Saya tak tahu mana lagi nak dituju  kerana kontrak royalti arwah bapa (P Ramlee) selama 50 tahun pun dan tamat sepenuhnya pada 29 Mei lalu,” katanya dipetik Harian Metro.

Terdahulu, Sazali meluahkan hasratnya ingin bertemu dengan PM untuk memohon bantuan serta berbincang mengenai kontrak royalti allahyarham P Ramlee yang sudah tamat.

Anwar mewakilkan setiausaha politiknya, Ahmad Farhan Fauzi untuk berkunjung ke kediaman Sazali dan isteri di Semenyih pada 1 September lalu bagi menyerahkan sumbangan bantuan itu. 

Anwar turut berkongsi mengenai kunjungan Ahmad Farhan dalam catatan Facebook miliknya. 

Sazali juga kini dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) selepas terbabit kemalangan dan mengalami kecederaan teruk di kaki pada 2015 lalu hingga menghalangnya untuk bekerja lagi.

Sazali turut menerima bayaran royalti terakhir P Ramlee untuk bahagiannya kira-kira RM9,000 daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) pada 31 Julai lalu.

Pada masa sama, Sazali berharap urusan isterinya untuk bertemu doktor pakar di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) di Cheras pada 25 September berjalan lancar.

“Insya-Allah, isteri saya akan berjumpa dengan doktor pakar di HCTM berkaitan masalah kesihatannya pada temujanji, 25 September ini.

“Saya mohon doakan semua urusan kami lancar di usia yang sudah emas ini,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS