Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Vokalis Smash Mouth meninggal dunia
Diterbitkan:  Sep 5, 2023 10:04 PM
Dikemaskini: 2:04 PM

Pengasas dan vokalis kumpulan Smash Mouth, Steve Harwell meninggal dunia di kediamannya di Idaho, Amerika Syarikat hari ini selepas bertarung dengan pelbagai masalah kesihatan.

Berita dukacita itu disahkan oleh pengurus Smash Mouth, Robert Hayes.

Walaupun punca kematiannya belum disahkan secara rasmi, Hayes berkata Harwell, 56, meninggal dunia disebabkan kegagalan buah pinggang.

“Dia meninggal dunia di kediamannya di Boise, Idaho di samping keluarga dan rakan-rakan.

“Steve (Harwell) harus dikenang sebagai seorang yang sentiasa memberi fokus tidak berbelah bahagi dan keazamannya untuk mencapai kemuncak sebagai bintang pop.

“Dan hakikat yang dia mencapai matlamat yang mustahil ini walaupun dengan pengalaman muzik yang amat terhad menjadikan pencapaiannya itu lebih luar biasa,” katanya seperti dipetik CNN.

Sebelum ini, Harwell dilaporkan menderita akibat kegagalan hati berikutan masalah buah pinggang yang dihidapinya sejak 2021 akibat pengambilan alkohol berlebihan.

Beberapa hari sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia sudah berada di bawah pemantauan di rumah dan dalam keadaan nazak.

Harwell yang menubuhkan Smash Mouth pada tahun 1994 meledak dengan single All Star dan I’m a Believer.

Kumpulan itu pernah dicalonkan untuk Anugerah Grammy bagi Persembahan Pop Terbaik oleh Duo atau Kumpulan untuk All Star - lagu yang kemudian menjadi popular selepas ditampilkan sebagai runut bunyi filem animasi Shrek pada 2001.

Walaupun Smash Mouth mencapai kejayaan lewat tahun 1990-an, kumpulan itu terus membuat persembahan dan nama mereka kekal di hati peminat.

Sejak Harwell meninggalkan kumpulan itu pada 2021 atas masalah kesihatan, kumpulan itu terus membuat persembahan dengan vokalis baru, Zach Goode.

Smash Mouth juga terkenal dengan hits lain seperti Walkin’ on the Sun dan Then The Morning Comes.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS