Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ziana Zain tergelak didakwa dapat gelaran Datuk

Penyanyi terkenal, Ziana Zain mengakui dia berasa 'terhibur' apabila didakwa menerima pingat membawa gelaran Datuk baru-baru ini namun menegaskan berita tersebut adalah palsu.

Ziana berkata, dia terkejut apabila dihujani ucapan tahniah bertalu-talu daripada rakan-rakan yang menghubunginya melalui kiriman mesej semalam.

“Saya sedang tidur tapi tiba-tiba terbangun apabila dihujani mesej masuk daripada rakan-rakan semalam yang mengucapkan tahniah sempena anugerah Datuk yang kononnya diterima.

“Kalau orang lain mungkin mudah berasa marah tapi saya tergelak, geli hati malah berasa terhibur sebab hal macam ini.

“Tiada langsung tawaran Datuk, jadi saya belum dapat Datuk lagi, gelaran nenek adalah…,” katanya berseloroh.

Ziana turut diminta mengulas cadangan seorang rakan artis bahawa gelaran Datuk memang patut dianugerahkan kepadanya.

Namun, penyanyi Putus Terpaksa itu berkata, ketika ini bukan anugerah Datuk yang dikejar.

Sebaliknya menurut Ziana, dia perlu mencari pendapatan untuk menyara anak-anaknya sebagai ibu tunggal.

“Biasalah, itu pandangan masing-masing dan saya hormati.

“Tapi saya bukan seseorang yang mengejar pangkat, lebih utama ketika ini adalah mencari ikhtiar dan wang untuk menyara diri dan anak-anak,” katanya.

Ziana berkata demikian ketika ditemui pada majlis perkongsian mengenai pembedahan Bariatrik oleh Pakar Bedah Perunding dan Pakar Usus dan Bariatrik, Doktor Mustafa Mohammed Taher yang berlangsung di sebuah restoran di Ampang, hari ini.

Selain Ziana, turut hadir memeriahkan majlis itu rakan selebriti seperti Ziela Jalil, Lieza Abdullah Khadijah Ibrahim dan Zarina Zainuddin.

Ziana antara yang artis melakukan pembedahan tersebut pada April tahun lalu atas faktor kesihatan.

Untuk rekod, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin, bercerai talak satu dengan Armin Zaharin di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.

Hasil perkahwinan selama 20 tahun, mereka dikurniakan lima anak iaitu Muhammad Amar dan Muhammad Aiman, 23, Muhammad Airil, 21, dan Siti Nur Kaseh, 14.

‘Kalau tak dapat pun syukur’

Mengulas lanjut, Ziana menganggap ia merupakan satu bonus sekiranya suatu hari nanti dia dianugerahkan gelaran berkenaan.

Kata penyanyi lagu Madah Berhelah itu, dia bersyukur jika ada pihak ingin menganugerahkan gelaran Datuk kerana sumbangan dan hasil usahanya sepanjang bergelar anak seni.

“Gelaran itu satu anugerah dan pengiktirafan ke atas diri saya sepanjang tempoh bergiat sebagai anak seni.

“Kalau dapat syukur alhamdulillah. Kalau tak dapat pun saya bersyukur saja.

“Mungkin hal begini timbul kerana ada peminat di luar sana yang lihat terdapat artis yang lebih muda dari saya dah dapat gelaran Datuk dan kenapa bukan saya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS