Pelakon Azhan Rani mengakui berasa bimbang apabila sering dihujani mesej beberapa wanita tidak dikenali yang mengajaknya bernikah.
Katanya, dia bukan menolak ‘jodoh’ tetapi khuatir sekiranya individu-individu di sebalik wanita yang mengaku jatuh hati itu sebenarnya adalah scammer yang muncul dengan niat tertentu.
“Ada beberapa orang yang Direct Message (DM) di Instagram sebab nak try (cuba pikat). Saya sampai jadi takut. Bukan apa, saya khuatir sekiranya individu-individu terbabit bukan wanita sebenar.
“Sebaliknya mereka adalah scammer menyamar jadi wanita yang sukakan saya. Pasal duit pun orang boleh kena scam apatah lagi bab nak berkahwin ini.
“Takut juga kalau letak gambar lain, nanti bila jumpa wajahnya juga berbeza,” katanya.
Meskipun usianya bakal mencecah 50 tahun, Azhan memberitahu dia sebenarnya belum terfikir untuk menamatkan zaman bujang ketika ini.
Jelas pelakon drama Nur itu, fokusnya lebih bertumpu ke arah penjagaan ibunya yang sedang uzur selain sibuk dengan kerjaya lakonan.
“Saya tak pernah fikir pun soal jodoh ini. Saya sedang menjaga ibu yang sakit dan antara lain kena fokus pada komitmen kerja.
“Seseorang harus pikul tanggungjawab itu. Sebab apabila kita tiada komitmen keluarga sendiri, saya mempunyai lebih masa untuk jalankan tanggungjawab pada ibu berbanding adik-beradik lain yang sudah berkeluarga.
“Tapi saya tak kata ini suatu pengorbanan, kerana ia merupakan tanggungjawab seorang anak kepada seorang ibu,” katanya.
‘Nak beli bawang pun kena pilih’
Ditanya adakah dia seorang yang cerewet dalam memilih bakal suri rumahnya, pemilik nama penuh Azhan Abdul Rani itu menjawab secara berseloroh: “Nak beli bawang pun kena pilih.”
Azhan ditemui pada sidang media pelancaran filem terbaru lakonannya, Tebus di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya kelmarin.
Selain Azhan, filem mendapat arahan Jason Chong itu turut membariskan pelakon-pelakon seperti Aedy Ashraf, Ahirine Ahirudin, Idan Aeden dan Jay Iswazir.
Tebus The Movie kini boleh ditonton di aplikasi penstriman, Prime Video.
Azhan pada masa sama mengakui tidak berasa hati sekiranya berdepan dengan soalan berkenaan johohnya, malah beranggapan pertanyaan itu disebabkan mereka prihatin.
Dia turut menafikan sekiranya berasa sunyi disebabkan belum berumah tangga.
“Saya raikan pertanyaan mereka kerana saya anggap mereka prihatin terhadap diri saya. Saya tak sunyi langsung terutama banyak aktiviti seperti mendaki gunung boleh dilakukan.
“Saya juga memelihara banyak empat ekor kucing dan ibu yang boleh menenami saya,” katanya.