Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Keluarga mohon titip doa buat Raymond Goh
Diterbitkan:  Sep 1, 2023 7:06 PM
Dikemaskini: 12:17 PM

Isteri Raymond Goh, Faridah Teh meminta orang ramai agar menitipkan doa buat penyampai berita itu yang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar.

Faridah memaklumkan keluarganya akan berusaha memaklumkan perkembangan terkini mengenai suaminya dari semasa ke semasa.

Tambahnya, pihak keluarga juga memahami kebimbangan orang ramai terhadap kesihatan Goh.

“Kisah Raymond menyentuh hati ramai orang. Justeru, pihak keluarga akan cuba memberi status kemas-kini yang relevan. Terima kasih untuk doa anda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Goh atau nama Islamnya Mohd Zaman Goh sering tampil melalui slot Nightline terbitan TV3 malah pembaca berita itu dianggap memiliki suara ’emas’ dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam dunia penyiaran.

Penyampai berita itu kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Assunta, Petaling Jaya.

Pada kenyataan sama, Faridah turut merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ahmad Shah dan Raja Permaisuri, Tunku Azizah Aminah Maimunah atas keprihatinan terhadap keadaan suaminya.

Selain itu Faridah juga memohon agar semua pihak memberikan ruang dan menghormati privasi buat keluarga mereka yang kini sedang menempuh masa sukar.

“Buat masa ini, keluarga kami memohon kesabaran dan privasi untuk berdepan tempoh yang mencabar. Sokongan dan doa anda semua amat kami hargai,” katanya.

Sementara itu, bekas senator, Ras Adiba Radzi juga memohon orang ramai menitipkan doa buat Goh yang pernah menjadi rakan seangkatannya suatu ketika dulu.

Melalui perkongsian di Instagram, Ras Adiba menceritakan pengalamannya menjadi penyampai berita bersama-sama Goh.

“Saya adalah pembaca berita generasi pertama bersama Raymond Goh serta pembaca-pembaca lain dan apa yang boleh saya kongsikan, dunia penyampaian berita pada ketika itu sangat berbeza.

“Goh seangkatan dengan saya sejak awal penubuhan TV3. Kami berganding bahu menyampaikan berita 7 o’clock news dan kemudian Nightline.

“Moga Allah mengampuni, merahmati dan mempermudahkan segalanya buat sahabat saya ini. Terima kasih kerana sudi mendoakan sahabat saya, Mohd Zaman Goh atau Raymond Goh. Al Fatihah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS