Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aishah dakwa kena santau melalui kiriman kurier
Diterbitkan:  Aug 30, 2023 3:10 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Penyanyi lagu Kemaafan Dendam Yang Terindah mendakwa ada pihak menghantar santau kepadanya melalui bungkusan yang dikirim melalui perkhidmatan kurier baru-baru ini.

Kata Aishah, selepas menerima kiriman tersebut, dia mula berasa sakit perut yang teruk walaupun sebelum ia dibuka.

“Saya hampir membuka bungkusan itu, tapi anak kata, tunggu dia cuti baru buka bungkusan tersebut.

“Namun, tak sempat nak tunggu dia buka itu, saya dah rasa sakit perut, ia menangkap (memulas) sampai rasa nak guling-guling di lantai.

“Ia berlaku sebaik saya bawa bungkusan tersebut masuk ke kawasan pagar rumah,” katanya.

Aishah yang turut terkenal dengan lagu Bayangan itu berkata, dia turut mengalami mimpi aneh dan tidak pernah berlaku kepadanya sebelum ini.

“Saya ternampak seorang lelaki yang wajahnya sangat familiar (biasa dilihat).

“Apabila saya pasang ayat ruqyah dan mengaji, rasa sakit-sakit itu hilang sekejap,” kongsinya pada majlis memperkenalkan 10 peserta All Stars Gegar Vaganza yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.

Meneruskan kisah itu, Aishah, 58, berkata pada awal dia menjangka bungkusan itu adalah kepunyaan anaknya, namun berubah fikiran selepas membaca nama penerima.

Perkara itu terus menimbulkan kehairanan kerana dia tidak pernah membuat sebarang pembelian.

“Benda itu dihantar melalui kurier. Saya ingatkan bateri motor sebab kotak yang digunakan.

“Saya pelik selepas tengok tertera nama penerima yang tertera adalah nama saya,” katanya.

Menurut Aishah, keadaan dirinya kembali pulih selepas dia membuang bungkusan berkenaan serta mendapatkan rawatan Islami untuk memulihkan dirinya selepas mengalami kejadian misteri itu.

“Saya jadi paranoid apabila bercerita semula kejadian ini. Saya tak sangka, zaman ini ada juga orang hantar sihir melalui kiriman kurier,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS