Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dituduh kahwin sebab duit, Intan kata semua takdir jodoh

Dituduh menyasarkan harta kekayaan semata-mata, pelakon Intan Najuwa sebaliknya berkata, takdirlah yang menentukan siapa lelaki menjadi pasangan hidupnya sama ada ahli perniagaan, orang bergelar Datuk atau yang lain-lain.

Justeru, Intan Najuwa berkata dia tidak mahu mengendahkan jika timbul cakap-cakap belakang mengenai dirinya kerana perkara itu sudah lumrah biar apa pun tindakan yang seseorang lakukan.

“Saya baca komen-komen (di media sosial) itu. Ada orang cakap saya kahwin sebab duit; ini sangat normal bagi saya sebab orang akan sentiasa bercakap, tapi yang lalui kehidupan itu adalah (saya) sendiri.

"Susah atau senang, semua kita telan sendiri. Siapa saya nak pertikai jodoh?

"Kita memang boleh merancang, tapi jodoh, pertemuan dan maut tetap di tangan Tuhan. Kita bukan boleh paksa siapa jodoh kita sebab paksa macam mana sekalipun, yang tentukan Allah jua," katanya.

Tambah Intan Najuwa walau apa pun yang dilakukan - sama ada perkara baik atau buruk - akan ada orang bercakap mengenainya.

“Apabila kita buat baik orang tetap bercakap, kalau buat yang tak baik, lagilah orang bercakap,” katanya pada majlis pelancaran koleksi Cinta jenama mewah Lady of Leisure diasaskan oleh Dada Herzoq Al-Attas di Kuala Lumpur malam tadi.

Terdahulu, selain berstatus Datuk dan usahawan, pernikahan Intan Najuwa dengan Ahmad Asraf Azman mengundang perhatian ramai serta mencetus polemik di media sosial.

Pernikahan mereka berlangsung di sebuah hotel mewah di Johor Bahru pada 18 Ogos lalu.

Akan buka mulut sendiri

Untuk rekod, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin bernilai RM20,000 manakala wang hantaran sebanyak RM222,000.

Segelintir netizen mendakwa selebriti bernama penuh Intan Najuwa Abdul Wahid itu memilih untuk menamatkan zaman solonya disebabkan kekayaan Ahmad Asraf.

Namun, segelintir yang lain pula berpendapat, tidak salah sekiranya pelakon Kisah Rumah Tangga itu memilih seseorang yang berharta kerana mereka sekufu (setaraf).

Sementara itu diminta mengulas batasannya sebagai pelakon selepas bergelar isteri dan mengelak kontroversi pernah terpalit ke atas dirinya sebelum ini, Intan Najuwa berkata, dia akan cuba memastikan perkara itu tidak berulang.

Menurut Intan Najuwa, sekiranya pihak produksi meminta dia melakukan sesuatu di luar batasan, dia terpaksa “bersuara” walaupun setakat ini suaminya tidak pernah membangkitkan isu tersebut atau meletakkan sebarang kekangan.

“Ya, kami baru berkahwin, tapi saya sebagai isteri kena faham dan letak batasan.

“Saya sendiri akan bersuara sekiranya ada pengarah atau produksi meminta yang bukan-bukan sebelum suami bersuara,” katanya.

Sebelum ini tular imej mesra Intan dan pelakon Zul Ariffin di sebuah pantai dipercayai lokasi penggambaran drama mereka bersama.

Bagaimanapun, pengarah Osman Ali menafikan ia sebahagian daripada gimik promosi bagi melariskan drama tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS