Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penganggur pecah masuk rumah Nabil didenda RM3,000
Diterbitkan:  Aug 29, 2023 1:51 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

Seorang penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Rembau, Negeri Sembilan hari ini selepas mengaku salah menceroboh rumah pelakon dan pengacara Nabil Ahmad.

Fadzril Aqmal Abdul Anif mengaku melakukan perbuatan tersebut sejurus selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di depan majistret Kartini Kasran.

Fadzril, 31, didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 7.50 malam, 4 Jan tahun lalu di Kampung Senama Tengah, Rembau dan dia dituduh mengikut Seksyen 442 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Kartini turut memerintahkan lelaki terbabit dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Menurut laporan BH Online, tertuduh masuk ke rumah Nabil secara menolak pintu dengan kuat, selain makan, berehat dan tidur di dalam rumah tersebut.

Adik kepada Nabil yang ditugaskan menjaga kediaman itu kemudian bergegas memeriksa sebelum mendapati kejadian itu adalah benar.

Hasil pemeriksaan dia menemukan sehelai baju Y, tiga helai seluar sukan dan sepasang kasut. Di dalam poket seluar itu turut ditemui MyKad milik tertuduh.

Pendakwaan kes itu dikendalikan timbalan pendakwa raya Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS