Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ellie Suriaty rasa disabotaj akaun palsu di TikTok

Pengarah dan pelakon sensasi, Ellie Suriaty Omar tidak teragak-agak untuk menggunakan saluran undang-undang sekiranya individu yang menyamar sebagai dirinya di platform TikTok tidak segera memadam akaun tersebut.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ellie berkata, jalan terakhir itu akan diambil sekiranya individu di sebalik akaun palsu @ellie.suriati itu masih berdegil dan tidak mengendahkan amarannya.

“Saya akan adukan pada pihak polis. Tapi, jika saya dapati akaun terbabit masih wujud, saya tiada pilihan lain selain terpaksa ambil tindakan undang-undang dan cari siapa individu di sebalik akaun @ellie.suriati.

“Buat masa ini, saya belum ada akaun TikTok, Facebook atau Twitter (X). Sahabat saya, Anne Abdullah juga sudah melaporkan akaun palsu tersebut pada pihak yang berkenaan.

“Kami turut memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia agar memantau kehadiran akaun media sosial palsu dan menyiasat perkara ini,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Ellie, 53, tindakan pemilik akaun palsu itu seolah-olah “mensabotaj” dirinya dalam pelbagai sudut terutama kariernya sebagai tenaga pengajar bidang lakonan.

“Ini macam nak sabotaj saya. Kandungan dicipta dalam akaun palsu itu menjatuhkan integriti dan maruah saya sebagai tenaga pengajar lakonan.

“Saya juga risau sekiranya individu terbabit buka tabung kutipan pula atas nama saya. Takutlah. Saya tak mahu ada peminat yang akan terpedaya.

“Dan sekiranya saya sudah ada hubungan (romantik) dengan seseorang yang baru, tidakkah hal seperti ini boleh mengeruhkan ikatan yang baru dibina? Jenuh pula nak bergaduh dengan kekasih baru nanti,” katanya.

Terdahulu, Ellie, melalui siaran langsung di media sosial mendedahkan wujud akaun palsu yang menggunakan nama dan gambarnya di TikTok.

Individu terbabit antaranya memuat naik kandungan palsu kononnya memaparkan kehidupannya sebagai pelakon lama yang semakin dilupakan selain gambar dia bersama bekas suami, Azri Iskandar.

Justeru, Ellie yang juga pelakon Soalnya Siapa? itu amat kesal kerana pemilik akaun palsu terbabit langsung tiada rasa hormat pada individu lain apabila menggunakan kisah hidup, nama dan imejnya untuk meraih simpati peminat.

“Untuk apa dia cipta kandungan memaparkan kisah perkahwinan saya dengan Azri Iskandar? Saya tak mahu berbalik pada bekas suami. Individu ini tak hormat privasi saya.

“Saya dan Azri jalani 11 tahun alam perkahwinan, namun tak ada jodoh dan memilih haluan masing-masing. Ini adalah keputusan kami berdua.

“Jadi siapa kamu tiba-tiba nak mengimbau kenangan itu seolah-olah seperti saya yang ada kekesalan? Eh biar betul! Kami dah move on (teruskan kehidupan),” katanya.

Ellie juga khuatir sekiranya kandungan dicipta dalam TikTok itu boleh mendatangkan mudarat bukan saja kepada peminat bahkan kedua-dua orang anaknya yang sedang meningkat dewasa.

“Anak lelaki saya berusia 19 tahun, seorang lagi perepuan 18 tahun, apabila orang lain buat (akaun palsu) mak mereka, akan timbul perasaan marah.

“Saya tak mahu mereka berdua membesar dengan ada unsur negatif seperti ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS