Hasrat Butterfingers untuk kembali menggegarkan Stadium Melawati, Shah Alam selepas kejayaan Konsert Transcendence 20 pada 2019 akhirnya bakal terlaksana Okt ini.
Sebelum ini impian berkenaan tidak kesampaian apabila rancangan mereka tergendala akibat penularan Covid-19.
Pemain gitar Butterfingers, Loque, berkata tahun ini dirasakan sesuai untuk mereka merealisasikan impian membawa peminat mengimbau nostalgia kegemilangan era album keempat mereka melalui Konsert Malayneum 23.
“Saya pasti ramai yang sudah lama terdengar ura-ura Butterfingers akan mengadakan konsert tapi malangnya rancangan itu terbantut disebabkan pandemik.
“Jadi, selepas semuanya kembali normal, kami ingin menempa sejarah sekali lagi di tempat sama, dengan muka anggota band yang juga sama dan berkemungkinan kru yang sama untuk meraikan album Malayneum pada 7 Okt ini,” katanya.
Mengulas mengenai tujuan utama mengadakan Konsert Malayneum 23, pemilik nama sebenar Khairil Ridzwan Anuar itu memberitahu mereka tidak berkesempatan untuk mempromosikan lagu-lagu dalam album berkenaan secara menyeluruh selepas ia diterbitkan.
Tambah Loque, 46, Butterfingers ligat menghasilkan album demi album sejak naskhah pertama, 1.2 Milligrams.
“Album itu kurang diraikan bukan saja kepada peminat, kami sendiri pun kurang persembahkan sewaktu show mahupun konsert jelajah pada waktu itu.
“Sejak tahun 1996 kami macam kilang keluar album. Pada masa itu keluar album pertama, tahun 1997 dah keluar album kedua sedangkan peminat baru nak garap yang pertama.
“Tapi kami teruskan hasilkan album seterusnya. Itulah yang terjadi pada Malayneum, peminat baru nak layan, tapi kami dah bosan main power chords,” katanya.
Sangat rasa teruja
Loque ditemui pada sidang media pengumuman konsert berkenaan di sebuah restoran di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur semalam.
Selain Loque, Butterfingers yang ditubuhkan pada 1993 itu turut dianggotai vokalis Emmett Roslan Ishak, Mohd Fakharudin Mohd Bahar atau Kadak (basis), dan Noor Haffizal Rashid atau Loko (drum).
Mengulas dari perspektif rakaman, Loque berkata, album Malayneum dianggap sebagai ‘bunuh diri secara komersial’ kerana Butterfingers mengubah 180 darjah konsep muzik untuk berbeza berbanding bunyi-bunyian dari album Transcendence.
Namun, menurutnya, Butterfingers tidak menyesal memilih laluan itu kerana Malayneum lebih menonjol sebagai satu album mereka yang disifatkan paling unik oleh peminat.
“Album ini dilihat janggal dan aneh dari album-album sebelumnya. Ia berada di antara genre grunge, alternatif, dan indie rock.
“Apabila difikir sekarang selepas dua dekad ia dikeluarkan, saya boleh katakan Malayneum sangat menonjol sebagai satu album yang paling unik.
“Ia juga berada dalam satu ruang yang menarik, sukar untuk kami letakkan dalam mana-mana kategori,” jelasnya.
Sementara itu, Emmet berkata, dia cukup teruja untuk menghidangkan persembahan yang boleh diingati dan luar biasa semasa konsert itu nanti.
Katanya, dia ingin peminat berasa puas dengan lagu-lagu yang jarang dimainkan dalam mana-mana konsert sebelum ini.
“Kebanyakan lagu jarang dimainkan dan ada yang langsung tak pernah dipersembahkan.
“Saya secara peribadi amat teruja dan gembira. Dan saya harap kegembiraan itu akan berjangkit dan kamu (peminat) ‘sakit’ dengan kegembiraan,” katanya.