Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepas 6 tahun tagih janji, Aishah hantar writ sita
Diterbitkan:  Aug 24, 2023 1:03 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

Selepas enam tahun menagih janji tanah lot banglo, penyanyi Aishah akhirnya hadir ke kediaman individu yang bertanggungjawab menaja hadiah Gegar Vaganza 4 (GV4) itu bagi tujuan penyitaan.

Aishah berkata, tindakan berasaskan undang-undang itu terpaksa dilakukan ekoran individu terbabit - bersama dua rakan kongsi yang juga isteri dan anaknya - gagal menyelesaikan baki bayaran selepas writ penyitaan dihantar.

“Hari ini saya berada depan rumah Datuk... Dua minggu lalu, kami dah hantar writ saman penyitaan. Namun, disebabkan tiada penyelesaian, kami datang untuk melelong barang-barang ini. 

“Tapi, sekarang ini tak ada orang (di rumah) padahal, dia dah tahu, kan? Ini bukanlah perkara menyeronokkan. 

“Saya hadir dengan peguam dan bailif mahkamah. Saya takkan biarkan benda ini terlepas begitu saja, lebih baik kamu datang selesaikan,” katanya menjelaskan keadaan.

Pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu mendedahkah, sebelum ini, individu terbabit beberapa kali mengusulkan pembayaran berjadual bagi melunaskan pembayaran. Namun, katanya, terma tersebut diingkari.

Menurut penyanyi Janji Manismu itu, hanya pembayaran pertama dan kedua dilunaskan.

“Dipendekkan cerita, kami dapat persetujuan di hadapan mahkamah untuk pembayaran yang sudah dipersetujui kedua-dua belah pihak tapi sekiranya default payment (tak ikut arahan pembayaran) semuanya akan kembali kepada amaun asal yang dituntut iaitu RM300,000,” katanya.

Terdahulu, pada program realiti GV4 itu, Aishah dinobatkan sebagai juara pertandingan manakala tempat kedua dan ketiga menjadi milik Liza Hanim serta Lan Solo.

Aishah dijanjikan hadiah wang tunai RM100,000 selain sebidang tanah lot banglo, pakej percutian ke Eropah Timur, barangan kemas, baucar beli-belah bernilai RM6,000 berserta piala.

Aishah membangkitkan tuntutan berkaitan tanah yang tidak dipenuhi selepas hampir setahun dia memenangi GV4. Penaja sebaliknya dikatakan menawarkan sebidang tanah yang saiznya lebih kecil berbanding lot banglo itu. 

Menurut Aishah, 58, tindakan sita terpaksa diteruskan selepas pihak berkenaan dilihat seolah-olah ingin mengelak daripada menyegerakan pembayaran.

“Kami minta kepada mahkamah untuk menyita dan menghantar writ penyitaan harta benda di dua rumahnya. Kami pergi pada 8 Ogos lalu, dia dah tahu. Jadi, kalau dia nak selesaikan, dia dah selesaikan.

“Dia bagi satu lagi pelan pembayaran. Apa jaminannya, kalau dia dah buat dua kali pelan pembayaran, tapi dia pula yang ingkar?” katanya.

Tambah Aishah, individu berkenaan juga rupa-rupanya sudah diisytiharkan sebagai muflis, justeru tindakan penyitaan diteruskan terhadap dua lagi rakan kongsinya.

“Kami tak dapat menyaman Datuk itu sebab tiga hari bicara di mahkamah baru kami dapat tahu dia seorang yang muflis. 

“Kami terpaksa tarik balik sebab dia membazirkan banyak masa saya. Jadi, tindakan ini terhadap dua lagi rakan kongsi. Jadi tak ada sebarang alasan,” katanya.

Aishah turut menjelaskan, tindakannya bukanlah disebabkan terlalu “hadap” untuk menyita sebaliknya berharap orang lain tidak terpedaya dengan janji manis.

“Kepada yang menganggap saya kejam sangat sampai menyita ketika dia sakit, sebelum buat tanggapan saya minta anda jangan termakan dengan drama play victim.

“Anda kena faham, kes ini bermula dari penghujung 2017. Pada ketika itu dia tak sakit sampailah hari ini, sakitnya baru dalam dua atau tiga bulan lalu. Jadi, tak perlu kecam saya tak berhati perut. Anda kena faham dah hampir enam tahun.

“Kalau orang cakap saya terlalu ‘hadap’ sampai nak menyita, sebenarnya ini berkaitan prinsip. Kepada kawan-kawan, semua kena tahu bagaimana kita boleh gunakan undang-undang negara untuk dapatkan hak kita,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS