Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Mengimbas kenangan bersama Allahyarham Adibah Noor, pelakon yang kini bergelar sutradara, Steve Yap, mengakui terharu dengan keterbukaan aktres terbabit menerima tawaran menjayakan filem sulungnya walaupun dia masih ‘hijau’ dalam bidang pengarahan.

Justeru, kata Yap, pemergian aktres itu memang memberi kesan mendalam buatnya terutama menjelang tayangan Adoiii Jiwaku yang semakin dekat, iaitu 7 Sept ini.

“Saya sangat terkejut apabila baca berita pemergian Kak Adibah melalui media massa ketika itu, sebab saya berminat untuk mengambil dia berlakon dalam filem saya selepas menonton filem Sepet.

“Saya sungguh tak sangka apabila dia menerima tawaran itu walaupun saya a new comer (pendatang baru),” katanya.

Menurut Yap, 51, Adoiii Jiwaku yang menjalani penggambaran pada 2019 sepatutnya menemui penonton pada tahun lalu namun rancangan tersebut terpaksa ditunda ekoran pandemik Covid-19 dan senario panggung wayang yang terjejas teruk.

“Tapi apabila ditayangkan tahun ini, dia (Adibah) tak berpeluang menonton first baby (karya pertama) saya,” jelasnya.

Yap ditemui pada malam gala filem berkenaan di sebuah kompleks beli-belah di Bukit Jalil kelmarin.

Allahyarham Adibah meninggal dunia pada 18 Jun 2022 akibat penyakit kanser ovari tahap empat.

Allahyarham Adibah Noor

Bagaimanapun, Adibah yang juga seorang penyanyi itu didakwa merahsiakan penyakit yang dideritai daripada peminat kecuali dalam kalangan keluarga dan rakan terdekat.

Dia juga hanya mengetahui mengenai kanser berkenaan tiga bulan sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Tambah Yap, disebabkan Adibah seorang yang ceria, dia juga sukar mengesan sekiranya pelakon itu sedang bertarung dengan sebarang penyakit.

“Kak Adibah suka bergurau sewaktu di set penggambaran. Semua orang menyenangi dia.

“Cuma saya selalu nampak dia kelihatan letih. Saya sangka ia disebabkan oleh faktor saiz tubuhnya,” kata Yap.

Seandainya dia tahu Adibah menghidap kanser ovari tahap empat, kata Yap, sudah tentu dia tidak mengerah kudrat penyanyi Terlalu Istimewa itu ‘keterlaluan.’

“Saya rasa bersalah sebab suruh dia berjalan lama untuk babak awal sewaktu penggambaran selain mengarah dia menari sewaktu cuaca panas terik.

“Kak Adibah juga memandu sendirian berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Morib untuk menyiapkan filem ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS