Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Adoiii Jiwaku lahir dari sakit hati Steve Yap pada orang politik

“Siapa makan cili, dia terasa pedas,” demikian luah pengarah dan pelakon, Steve Yap, berhubung filem sulungnya, Adoiii Jiwaku, yang dikatakan sengaja menyindir segelintir tokoh politik.

Yap berkata, dia terpanggil untuk menghasilkan sebuah karya mengenai sensitiviti keharmonian kaum di negara ini selepas berasa “sakit hati” menyaksikan senario politik yang lazimnya memanipulasi isu tersebut menjelang pilihan raya.

“Sebagai rakyat negara ini, saya sudah menyaksikan banyak pilihan raya yang menyentuh isu kaum dan agama. Ia menimbulkan banyak salah faham.

“Hal itu membuat saya sakit hati, sebab kita sebagai masyarakat majmuk sebenarnya tak ada masalah dengan isu perkaum mahupun agama.

"Sebenarnya yang bermasalah di negara ini ialah segelintir ahli politik," katanya ketika ditemui pada malam gala Adoiii Jiwaku di Bukit Jalil, malam tadi.

Yap berkata, kecewa dengan 'mainan kotor' orang politik berkenaan, dia sering terfikir untuk menyampaikan mesej keharmonian dan secara tidak langsung membantu rakyat negara ini untuk saling memahami antara satu sama lain.

Menurut Yap, 51, idea menghasilkan filem genre komedi itu tercetus saat dia menonton filem hasil tangan Allahyarham Yasmin Ahmad, Sepet, yang diterbitkan hampir dua dekad lalu.

Akhirnya pelabur berminat

Bermula dari Sepet itulah, katanya, dia mendapat ilham untuk menghasilkan Adoiii Jiwaku dengan mengetengahkan kisah persahabatan antara orang Melayu, Cina dan India.

Filem itu berkisahkan kehidupan melatari tiga rakan sekerja iaitu Ayis, Sia dan Malesh di sebuah hotel.

Oleh kerana personaliti dan perspektif yang berbeza berhubung cara kerja, mereka sering bertelagah sesama sendiri. Namun, semuanya berubah apabila berlaku satu peristiwa yang menyebabkan Sia dan Ayis bertukar badan antara satu sama lain

Melalui filem yang dihasilkan pada 2019 itu, Yap turut menjayakan watak Sia, seorang pengurus hotel yang bersikap adil tetapi tegas terhadap setiap pekerja-pekerjanya.

E Ramana Mohan (kiri) bersama Ali Arami (tengah) dan Steve Yap

Pelakon lain yang turut menjayakan Adoiii Jiwaku ialah Allahyarham Adibah Noor, Ali Arami, E Ramana Mohan, Pablo Amirul dan Amber Chia. Karya itu bakal menjengah 60 pawagam tempatan mulai 7 Sept ini.

Yap yang pernah menjadi naib juara Mr Asia anjuran ATV Hong Kong itu berkata, projeknya itu terpaksa 'diperam' beberapa tahun gara-gara tiada pihak yang berani melabur.

“Begitu sukar untuk realisasikan impian apabila tiada pelabur berminat dengan filem yang menyentuh isu bangsa dan keharmonian antara kaum.

“Saya juga gagal mendapat geran Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) walaupun filem ini tak menyentuh isu agama pun.

“Nasib saya hanya berubah selepas kerajaan bertukar pada 2018. Ada pelabur yang akhirnya berminat tapi dengan meletakkan had perbelanjaan tertentu,” katanya.

Yap juga memberitahu, tidak mudah untuk dia mendapatkan seorang pelakon yang sedia membawa watak seperti yang diingini kerana mereka berisiko dikecam apabila menyentuh isu sensitif.

Hal itu kerana, katanya, mereka berdepan dengan stigma negatif masyarakat apabila ia membabitkan isu tabu.

“Saya tiada pilihan selain menjayakan sendiri watak Sia sendiri sebab tiga pelakon lain yang didekati semua menolak.

“Mereka bimbang watak itu akan meraih respons negatif daripada penonton,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS