Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Malbatt: Misi Bakara jadi filem terakhir dilakonkan Hairul Azreen
Diterbitkan:  Aug 21, 2023 1:12 PM
Dikemaskini: 5:12 AM

Selepas melunaskan tanggungjawab dalam filem Malbatt: Misi Bakara, pelakon Hairul Azreen mengumumkan persaraannya dari dunia lakonan bagi memberi fokus pada keluarga.

Kata Hairul, dia mengambil langkah tersebut "demi kebaikan" dan tidak lagi mahu berterusan ketinggalan merasai momen indah bersama isteri dan anak-anak.

“Saya umumkan hari ini bahawa saya berhenti berlakon demi kebaikan. Saya perhatikan, kalau berlakon, sekurang-kurang kena fokus enam bulan. Buat badan; seminggu enam kali.

“Tahu-tahu anak dah besar, tahu-tahu anak dah masuk sekolah. Ada juga orang tak sempat lihat mak bapa kerana sibuk bekerja.

“Filem Malbatt: Misi Bakara adalah filem terakhir saya sebagai pelakon. Cuma filem terakhir saya bersama pengarah Syamsul Yusof mungkin dijangka keluar tahun depan,” katanya.

Tambah Hairul, 35, keputusan itu sudah difikirkan semasak-masaknya kerana dia berpuas hati dengan pengalaman yang dikecapi sepanjang bergelumang sebagai anak seni.

“Cukuplah, saya dah puas dengan apa yang saya lakukan selama ini. Allah dah berikan macam-macam melainkan saya tak reti (tahu) bersyukur.

“Semua benda saya dah pernah buat bermula dari belakang tabir, jadi pelakon ekstra, penerbit, pelabur pelakon lagak ngeri. Menyanyi pun dah pernah.

“Saya berdoa untuk diberi peluang sebagai pelakon filem, Allah makbulkan doa dan saya akhirnya diberi tawaran menggalas watak hero filem aksi,” katanya.

Dapat restu isteri

Pengumuman Hairul itu dibuat dalam temu bual bersama penyampai radio, Halim Othman, Linda Onn di stesen radio Era hari ini.

Pemilik nama penuh Hairul Azreen Idris itu juga berkata, dia sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap filem aksi yang dilakonkan kerana ingin negara ini dapat berbangga dengan filem yang dihasilkan.

“Filem lakonan saya, Paskal berjaya menarik seramai 40 peratus orang untuk menjadi anggota tentera.

“Sebab itu, saya sering melakukan yang terbaik untuk semua filem aksi termasuk berlapang dada sekalipun mengalami kecederaan kerana nak orang hargai filem kita.

“Saya mahu akhiri perjuangan dalam bidang lakonan dengan filem Malbatt: Misi Bakara yang boleh buat orang kita bangga dengan filem Malaysia,” katanya.

Ditanya apakah keputusan itu mendapat restu isterinya yang juga pelakon Hanis Zalikha, Hairul menjawab: “Ya.”

Kata Hairul, dia dan Hanis, 32, merancang untuk mengembangkan perniagaan yang diceburi.

“Hanis juga dah lama tak berlakon. Kami akan fokus pada perniagaan selepas ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, peminat masih boleh mengubati kerinduan mereka dan terus mengikuti perkembangan diri dan keluarga melalui akaun media sosial miliknya.

“Saya masih aktif di Instagram dan media sosial lain misalnya TikTok cuma dah tak berlakon,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS