Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Meskipun pernah beraksi di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Hazama mengakui dia masih gemuruh untuk menjayakan konsert penghargaan buat bintang legenda tanah air, Allahyarham Sudirman Arshad, bersempena Hari Malaysia pada 16 Sept ini.

Kata Hazama, dia bimbang sekiranya sepanjang persembahan tersebut ada berlaku kesilapan walaupun kecil kerana ia boleh menjejaskan komposisi muzik yang diolah dalam format akustik itu.

“Saya jadi takut nak menyanyi bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO)sebab ini akustik, bukan macam persembahan biasa yang saya pernah buat.

“Apabila diiringi MPO, muzik tak sama seperti yang kita biasa dengar, ia akan jadi lain. Maknanya kalau silap kecil pun akan jelas diketahui,” katanya mengenai konsert A Tribute To Sudirman itu.

Hazama, 38, juga berkongsi bagaimana dia meminati Sudirman sejak kecil.

Katanya dia membesar dengan mendengar banyak lagu penyanyi yang pernah memegang gelaran penghibur nombor satu Asia itu, seperti Pelangi Petang, Milik Siapakah Gadis Ini dan Terasing.

“Bagi saya, allahyarham Sudirman ikon yang banyak berjasa pada masyarakat. Sememangnya saya rasa bertuah dapat peluang menyanyikan lagu-lagunya di pentas DFP,” katanya.

Hazama ditemui pada sidang media pengumuman A Tribute To Sudirman di sebuah hotel di Kuala Lumpur kelmarin.

Enggan fokus terganggu

Sudirman mula menempa nama setelah dinobatkan sebagai juara Bintang RTM 1976. Dia kemudian berjaya meletakkan dirinya sebagai salah seorang penghibur paling berjaya dan dihormati di negara ini.

A Tribute To Sudirman akan dikemudi oleh konduktor Ahmad Muriz Che Ros.

Selain Hazama, konsert itu bakal menampilkan Liza Aziz yang juga bekas penyanyi latar Sudirman, Ernie Zakri dan bakat baru, Arish Mikael.

Hazama pernah beraksi di DFP apabila menjayakan Konsert Rock Tri-O yang turut menampilkan Hattan dan Azlan The Typewriter.

Demi memberi fokus kepada persembahannya, penyanyi Relakan Jiwa itu juga berkata, dia akan menolak tawaran untuk menjayakan show lain.

(Dari kiri) Hazama, Ahmad Muriz dan Arish Mikael

“Semua itu memerlukan latihan yang banya jadi saya tak mahu fokus terganggu kerana perlu banyak berlatih,” katanya.

Sementara itu, mengulas pembabitan Arish, Ahmad Muriz berkata, pemuda berusia 20 tahun yang berasal dari Johor Bahru itu dipilih kerana MPO percaya pada bakatnya.

“Ini generasi yang kita sebagai pemain industri ada tanggungjawab untuk kembangkan bakat baru.

“Bakat satu anugerah besar Allah bagi dan saya nampak ia ada pada dia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS