Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ambil iktibar kesusahan veteran, Anna Jobling upah akauntan peribadi

Pelakon semakin meningkat naik namanya, Anna Jobling, mahu beringat-ingat berhubung simpanan wangnya ketika ini demi keselesaan hari tua.

Mengambil iktibar pengalaman susah dilalui sesetengah pelakon veteran, Anna berkata, dia melantik seorang akauntan peribadi bagi merancang corak pengaliran keluar masuk wangnya agar sentiasa teratur.

“Mungkin pada orang lain, usia 23 tahun terlalu muda. Bagi saya, soal kewangan perlu diuruskan dengan baik bermula dari usia sebegini.

“Saya mementingkan simpanan jadi adalah penting untuk mempunyai seorang penasihat kewangan.

“Atas alasan itu juga saya melantik seorang akauntan. Sudah dua tahun saya guna khidmat dia,” katanya.

Pemilik nama penuh Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman itu juga berkata, dia bukan wanita yang boros dalam berbelanja.

Sikap berjimat-cermat, menurut pelakon Melur Untuk Firdaus itu, dipraktikkan bagi membolehkan dia merealisasikan impian memiliki rumah impian suatu hari nanti.

“Saya tak suka membazir, macam beg tangan - pernahlah beli satu atau dua yang berjenama mewah tapi setakat itu sajalah sebab bukan jenis suka sangat barang sebegitu.

“Selepas beli kereta, keutamaan saya adalah untuk membeli rumah dan saya menabung untuk sempurnakan hajat itu.

“Saya akan dapatkan satu per satu hasrat dengan fokus. Ada juga pergi tengok-tengok rumah sebelum ini,” katanya yang ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya ke-23 di sebuah hotel terkemuka di ibu kota malam tadi.

Majlis bertemakan The Go Gatsby itu menjadi lebih istimewa apabila peminat memberi kejutan dengan menghadiahkan kek lapan tingkat buat Anna.

Atas tuntutan kerja yang memaksanya berulang-alik dari Malaysia ke Indonesia, Anna menyambut ulang tahun kelahirannya itu lewat tiga hari dari tarikh sebenar.

Bagi memastikan sumber kewangannya terus stabil, Anna berkata, dia merancang untuk mengusahakan apa-apa perniagaan namun belum mendapat ilham jenis yang sesuai untuknya.

Hal itu kerana, katanya, dia tidak suka terlibat dalam perniagaan yang sudah diceburi terlalu ramai orang.

“Paling penting, saya mahu jual sesuatu yang saya suka dan pakai, tak mahu letak muka di produk semata-mata,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS