Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Haiza akui hampir putus asa nak ‘lawan’ Dag Dig Dug

Penyanyi dangdut yang terkenal dengan Dag Dig Dug, Haiza, mengakui dia pernah rasa hampir berputus asa untuk tampil dengan karya baru kerana tidak yakin karya tersebut boleh ‘melawan’ populariti lagu berkenaan.

Bukan setakat itu, Haiza yang kini menjadi penyampai radio berkata, dia “penat” walaupun banyak lagu lain dihasilkan, namum Dag Dig Dug juga yang berbekas di hati peminat.

“Saya penat sebab susah gila nak kalahkan populariti Dag Dig Dug hingga sekarang.

“Ada rasa hampir putus asa, tapi apabila fikir semula: 'aku ini dah lama dalam industri, sejak umur 15 tahun, jadi nak tak nak kena teruskan juga menyanyi.'

“Saya faham, mana-mana artis yang keluar dengan album pertama, itulah lagu yang biasa akan melekat di hati peminat sampai bila-bila,” katanya.

Menurut Haiza, 43, dia juga pernah bertanya kepada beberapa komposer untuk mendapatkan lagu baru yang boleh mengalahkan lagu dari album terbitan pada 1995 itu.

Namun, katanya, hingga kini dia belum berjumpa dengan seseorang yang boleh merealisasikan impiannya.

“Saya masih tercari-cari sebenarnya,” kata pemilik nama penuh Rohaiza Nordin itu ketika ditemui pada majlis majlis Perintis Usanita 2.0: Meet & Mingle di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengulas lanjut, kata Haiza, dia merancang untuk menyuntik elemen baru dalam lagu yang sama sempena sambutan ulang tahun ke-30 bergelumang sebagai penyanyi nanti.

Ditanya sama ada pernah atau tidak timbul perasaan ingin mencuba genre selain dangdut, Haiza berkata, dia sudah melakukannya beberapa kali namun ia gagal mendapat sambutan yang diinginkan.

“Saya baca setiap komen peminat, mereka bertanya kenapa saya tak nyanyi saja lagu selain dangdut.

“Tapi apabila saya bagi lagu baru genre lain, mereka tak beri sokongan pula.

“Saya anggap mereka yang beri cadangan itu ini jenis orang yang hanya pandai cakap,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS