Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
ULASAN BUKU | Merakam jejak hidup sebagai Jarum Emas
Diterbitkan:  Aug 17, 2023 9:20 AM
Dikemaskini: 1:20 AM

Lama sebelum anda membaca pelbagai berita dari bermacam-macam saluran seperti sekarang ini, ada sejarah yang sangat panjang bagaimana manusia, negara dan bangsa dibentuk oleh media.

Lebih penting sesetengah - kalaupun tidak semua - media itu bukan sekadar menyalurkan maklumat bahkan secara lihai menetapkan agenda yang sangat penting iaitu membawa idea kemerdekaan.

Untuk mencapai kemerdekaan, yang terlebih dulu perlu dibebaskan ialah akal fikiran. Demikian besar dan pentingnya media massa pada suatu ketika dulu. Ia menjadi pencetus kesedaran terhadap bangsa bermaruah.

Kemudian datang pula zaman media yang semakin dikongkong dan kadang-kadang menerima 'wahyu' dari pihak yang memegang kuasa. Media massa melalui zaman yang tidak sepatutnya kerana untuk kekal bebas dan merdeka, terpaksa bergelut dengan cengkaman pihak tertentu.

Namun masih ada yang terus melangkah dengan keyakinan dan prinsip yang diyakini.

Kemudian datanglah zaman media sosial dan pelbagai maklumat boleh dikutip, disunting, ditokok tambah dan dihamparkan kepada sesiapa saja yang memiliki kemudahan internet. Kemudian ia dipercayai beramai-ramai walaupun ia tidak disahkan, atau disemak silang.

Dan di celah-celah perkembangan itu - malangnya - semakin sukar menemukan wartawan yang gigih, sabar, tabah serta sedar akan tanggungjawab masing-masing. Sebaliknya ramai yang berlumba-lumba untuk menjadi wartawan manja.

Kisah belum diceritakan

Di antara setiap zaman itu ada terlalu banyak kisah yang tidak diceritakan walaupun sesetengahnya menarik dan penting untuk memahami apa yang berlaku sekarang.

Sesetengahnya kisah di sebalik tabir mengenai kesukaran mencari berita yang diatasi dengan kesabaran dan kegigihan seorang wartawan.

Buku ini sedikit sebanyak menawarkan pelbagai kisah yang tidak diketahui ramai. Penulisnya, Adam Salleh, dikenali ramai sebagai wartawan hiburan walaupun sebenarnya secara bandingan masanya lebih banyak ditugaskan di meja berita.

Di situ terselit kelebihan pada penulis yang kadang-kadang diingati kerana nama kolumnya, Jarum Emas ini. Hal itu antara lain disebabkan kegigihannya mengesan berita di mana saja waima semasa berbual-bual atau semasa berehat.

Kerana itu dia pernah mendapat berita eksklusif mengenai bintang sukan walaupun bidang hiburan dan sukan itu jauh bezanya. Kisah-kisah yang diceritakan juga bersifat 'jantan' walaupun kadang-kadang sedikit mengada-ngada.

Untuk memahami sisi-sisi 'terlindung' dalam dunia kewartawanan khususnya semasa era media cetak yang lebih menjerihkan, buku ini wajar ditekuni oleh semua.

Ia akan menjadi lebih mengasyikkan jika anda memang meminati kisah-kisah lampau yang diiringi dengan sejumlah gambar membabitkan pelbagai watak. Ada antara watak itu merupakan tokoh yang masih dikenali sehingga kini.

Pun begitu buku Porter Jadi Editor ini tidaklah sempurna. Di sana sini masih banyak yang boleh diperbaiki, sepatutnya. Misalnya susunan gambar yang kelihatan diasak dengan sengaja, kemungkinan kerana keinginan penulisnya memasukkan sebanyak mungkin kenangan dalam naskhah ini.

Reka letaknya pula menjadikan buku ini kurang serius walaupun sepatutnya bukan begitu. Sesekali penampilan buku ini turut seakan-akan menghantar isyarat bahawa ia disiapkan dengan agak tergesa-gesa.

Halaman yang disediakan untuk penulis kata-kata aluan juga agak lewah, manakala gambar muka depan sepatutnya boleh ditampilkan dengan lebih 'mesra' buat bakal pembeli.

Pun begitu ia tidaklah terlalu terjejas sehingga naskhah yang pelucurannya dirasmikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim ini wajar diketepikan.

Kandungan yang menarik dengan sesetengahnya bersifat untold mewajarkan ia dicari, dibeli, dibaca dan dihadamkan.

Selamat menyelami dunia sebalik tabir seorang porter yang kemudian menjadi wartawan dan editor.

Kemungkinan besar dengan menghayatinya secara adil, anda boleh sedar bahawa ketika ini ada banyak elemen berharga yang sudah hilang dari hidup kita.

Judul: Porter Jadi Editor
Terbitan: 2023
Tebal: 400 halaman
Harga: RM90


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS