Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Anak seni kini ibarat kais pagi makan pagi, kata PTVM
Diterbitkan:  Aug 15, 2023 1:01 PM
Dikemaskini: Aug 16, 2023 7:21 AM

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) meluahkan rasa kecewa mereka dan berharap Perdana Menteri Anwar Ibrahim mampu membawa ‘sinar’ dalam isu keputusan perolehan rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Presiden PTVM, Jurey Rosli, berkata gesaan itu dibuat kerana kerajaan sudah melepasi tempoh kesibukan akibat pilihan raya negeri.

Katanya ketika ini nasib anak seni yang terlibat dalam industri penerbitan televisyen (TV) terkesan teruk.

“Keadaan kami di bawah ini hanya indah khabar daripada rupa. Kami ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Tahun ini merupakan tahun paling sukar buat kami apabila hingga ke hari ini kami masih lagi ternanti-nanti keputusan perolehan rancangan di RTM," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Jurey masalah yang dihadapi sekarang tidak pernah dihadapi oleh penggiat bidan berkaitan sepanjang mereka terlibat membekalkan program di RTM.

“Hal sedikit sebanyak meninggalkan kesan buruk kepada reputasi kerajaan Madani apabila ramai anak seni yang terpaksa menganggur akibat tiada peluang pekerjaan,” katanya.

Tambah Jurey, demi kelangsungan hidup, penggiat seni berusaha sebaik mungkin dengan melakukan pelbagai kerja.

Antaranya, kata Jurey, ada yang menjadi tukang cuci, buruh kasar, menjaja di tepi jalan, pemandu e-hailing dan paling popular ialah penghantar makanan.

“Ini membuktikan penggiat seni meninggalkan kerjaya mereka kerana kurang atau tiada tawaran berbanding sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan PTVM menyeru Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil membuat kajian menyeluruh bagi menyediakan peruntukan yang mencukupi, atau melakukan reformasi bagi menjadikan RTM entiti yang mampu menjana pendapatan sendiri, bukan hanya bergantung harap pada peruntukan kerajaan.

Ia susulan, penurunan ketara jumlah perolehan rancangan di RTM pada tahun lalu.

Jurey berkata, majoriti syarikat penerbitan TV bergantung kepada perolehan RTM kerana hanya stesen kerajaan yang memberikan lebih peluang kepada syarikat-syarikat kecil untuk terlibat.

“Kami yakin Anwar seorang pemimpin yang prihatin membantu rakyat, justeru kami memohon diberi peluang untuk memberi taklimat dan cadangan bagi memperbaiki ekosistem industri yang lebih kondusif.

“Kita mempunyai Dasar Perfileman Negara dan Dasar Industri Kreatif Negara yang hanya berfungsi sebagai pernyataan tetapi tidak diperkasakan dalam pelaksanaan.

“Reformasi industri penerbitan TV perlu dibuat demi menjayakan agenda membina negara bangsa Malaysia Madani,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS