Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Goyang Asia Koplo Milenia tukar nama elak persepsi lucah
Diterbitkan:  Aug 15, 2023 12:11 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

Enggan berterusan dikritik, penganjur Konsert Goyang Asia Koplo Milenia menukar penampilan persembahan mega yang menggabungkan penyanyi dangdut Malaysia dan Indonesia itu sebagai Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur.

Pengarah Projek Mission Sight Sdn Bhd (Mission Sight), Riezman Khuzaimi, berkata penjenamaan semula konsert yang bakal berlangsung pada 30 Sept itu dibuat agar ia nampak lebih universal, selain menangkis stigma segelintir pihak terhadap genre ditonjolkan.

“Belum pun bermula, konsert mega yang bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam menjadi sasaran kritikan pihak yang sentiasa memiliki persepsi negatif terhadap irama dangdut.

“Demi membuang persepsi masyarakat dan menghormati semua pihak, Konsert Goyang Asia Koplo Milenia telah dijenamakan semula kepada Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur.

“Pihak kami sedar apabila disebut dangdut koplo sudah pasti ada yang menyangka kemunculan barisan penyanyi nanti disertai tarian seksi, namun itu semua sekadar tanggapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Riezman yang juga pelakon itu berkata, pihaknya akan memastikan setiap penyanyi termasuk Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek-kelepek dan Rheyna Morena dari Indonesia mematuhi semua garis panduan persembahan di negara ini.

Riezman (empat dari kiri) bersama antara artis yang akan terlibat (dari kanan), Hesty Klepek-Klepek, Siti Badriah, Rhena Morena (kiri) dan Fitry Carlina (dua dari kiri)

Menurutnya, irama dangdut hanya menjual irama dan lagu, bukan unsur negatif tarian dan gelek lucah seperti anggapan pihak tertentu.

“Sejak awal lagi mereka tiada masalah mengikuti ketetapan dan menghormati garis panduan kita, bukan hanya pada persembahan bahkan meliputi penampilan pada malam tersebut.

“Sebagai penggiat seni, Mission Sight lebih teruja menonjolkan seni di dalam muzik itu tanpa membawa elemen negatif sepertinya tanggapan pihak tertentu,” katanya.

Selain empat barisan penghibur terkemuka dari negara jiran, Konsert Milenia Live In Kuala Lumpur turut dimantapkan dengan kemunculan Ratu Dangdut Malaysia, Amelina serta Ani Maiyuni.

Konsert itu juga bakal dimeriahkan dengan Festival Muzik Milenia selama tiga hari berturut-turut di pekarangan Stadium MBSA Shah Alam bermula 29 Sept hingga 1 Okt ini.

Riezman turut mengumumkan penjualan tiket 'harga rahmah' bersempena Merdeka yang memberikan peluang peminat berhibur dengan potongan diskaun sehingga 50 peratus.

“Ini adalah konsert pertama Mission Sight yang sebelum ini berpengalaman luas dalam penganjuran acara serta festival mega.

“Kami ingin berkongsi kemeriahan dengan membuka peluang kepada lebih ramai penggemar muzik menikmati genre dangdut, selain memberi potongan 50 peratus bersempena bulan kemerdekaan.

“Harga istimewa ini turut ditawarkan kerana kami merancang mengadakan konsert untuk malam kedua dan jika terlaksana kemungkinan artis sensasi seperti Baby Shima dan beberapa artis lain dapat tampil.

“Konsert ini juga mungkin akan mencatat sejarah dan diabadikan dalam Malaysia Book of Records sekiranya tiket habis terjual,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS