Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Persahabatan tak terlerai walau lama tak berhubung - Sherry

Lama tidak berhubung bukan bermaksud hubungan akrab yang pernah terjalin bertahun-tahun lamanya kini sudah terlerai, kata pelakon dan pengacara Sherry Alhadad berhubung persahabatannya dengan Nad Zainal.

Sherry berkata, hal itu kerana dia menganggap Nad seperti adik kandung sendiri.

Sherry, 38, memberitahu kali terakhir dia menghubungi Nad ialah sebelum aktres itu berkahwin dengan Ungku Ismail.

“Tak akan terputus (persahabatan), sebab saya kenal dia sejak dia 17 tahun. Pada saya, tali silaturrahim itu masih ada.

“Saya juga anggap kami masih berkawan dan anggap dia seperti adik selain pernah jadi guru dia dulu," katanya.

Sherry juga memberitahu dia ada menghubungi Nad sebelum aktres terbabit berkahwin.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini dia sibuk dan Nad pun memberikan tumpuan kepada perniagaaan.

"Jadi memang tak sempat nak berhubung kerana ada masing-masing ada tanggungjawab sendiri,” katanya.

Nad Zainal

Sherry berkata dia juga tidak lupa mendoakan Nad, 33, walaupun sudah lama tidak mendengar khabar dari mulut empunya badan.

Sherry berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada sidang media drama bersiri B.A.R.I.S.T.A: Misi Terpaling Sulit di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Untuk rekod pada Nov tahun lalu Nad dimasukkan ke Hopsital Pakar KPJ Ampang Puteri akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Susulan keadaannya tahap kesihatannya itu, rakan artis dan peminat melancarkan Tabung Kecemasan Nad Zainal bagi membantu keluarganya menampung kos rawatan di hospital.

Kawan ketika senang, susah

Selepas kesihatannya pulih, Nad kemudian mendirikan rumah tangga dengan Ungku Ismail pada 23 Januari lalu.

Pasangan itu kini menantikan kehadiran cahaya mata pertama mereka.

Sebelum ini muncul spekulasi Nad bermasam muka dengan beberapa rakan selebriti termasuk Sherry.

Sherry berkata, walaupun tidak berhubung dengan Nad, dia masih kerap menghubungi ibu bapa pelakon Takdir Yang Tertulis itu untuk bertanyakan keadaannya yang bakal melahirkan cahaya mata tidak lama lagi.

“Saya masih berhubung dengan ibu bapa dia untuk bertanyakan keadaan dia sekarang.

“Saya sebenarnya gembira dia dah temui kebahagiaan, dia pun bakal menimang cahaya mata baru nanti.

“Berkat doa dan usaha kawan-kawan bantu ketika dia memerlukan buatkan saya bersyukur kerana sebagai seorang sahabat, itulah tugas kita.

“Maksudnya, kita bukan berkawan dalam keadaan senang saja, ketika susah pun, kita boleh cuba bantu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS