Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Pendakwaan akan kemuka 10 saksi dalam kes Yasin

Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya hari ini diberitahu bahawa pihak pendakwaan akan mengemukakan lapan hingga 10 orang saksi dalam perbicaraan kes dadah yang dihadapi penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memaklumkan perkara itu ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

"Kami mendapat arahan agar perbicaraan kes yang ditetapkan sebelum ini pada 28 dan 29 Ogos dikekalkan. Pihak pendakwaan akan memanggil lapan hingga 10 saksi untuk memberi keterangan,” katanya.

Muhammad Yasin, 48, hadir ke mahkamah diiringi peguamnya Ariff Azami Hussein dan pegawai penjara.

Ketika ditemui media di luar mahkamah, Ariff Azami berkata anak guamnya berada dalam keadaan baik di penjara dan keluarga penyanyi itu termasuk ibunya turut hadir ke mahkamah hari ini untuk memberikan sokongan.

Pada 6 Julai lepas, keputusan laporan psikiatri oleh Hospital Bahagia UIu Kinta, Perak mengesahkan Muhammad Yasin layak dibicarakan susulan keadaan mentalnya bertambah baik serta mampu membela diri, walaupun ketika kejadian dia disahkan sebagai tidak waras.

Muhammad Yasin turut disahkan menghidap penyakit kecelaruan bipolar dan hipertiroidisme.

Pada 8 Mei lepas, mahkamah memerintahkan Muhammad Yasin dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan tahap kesihatan mentalnya, selepas membenarkan permohonan pembelaan supaya tertuduh diperiksa oleh pakar psikiatri.

Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid' di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya pada 11.05 malam, 24 Mac tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di Petaling Jaya, pada 5.30 petang, tarikh yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan dan Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3), yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS