Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aksi biadab, penganjur tuntut ganti rugi atau saman The 1975
Diterbitkan:  Aug 7, 2023 9:41 PM
Dikemaskini: 2:10 PM

Penganjur Good Vibes Festival (GVF) 2023, Future Sound Asia (FSA) menghantar surat tuntutan kepada The 1975 supaya band dari England terbabit bertanggungjawab dan membayar ganti rugi susulan pembatalan serta-merta baru-baru ini.

FSA dalam satu kenyataan berkata, kegagalan The 1975 berbuat demikian boleh menyebabkan pihaknya berdepan tindakan undang-undang di Mahkamah England.

“FSA menyelar kelakuan kumpulan terbabit sewaktu persembahan mereka di GVF2023 terutama vokalis Matthew Timothy Healy yang menggunakan bahasa kasar, melakukan kerosakan pada peralatan dan kelakuan tak beradab.

“Hal itu bukan saja melanggar undang-undang negara ini tapi mencalarkan reputasi festival yang berusia 10 tahun,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, The 1975 dilihat sengaja melanggar perjanjian dibuat dengan FSA sewaktu penampilan mereka di festival berkenaan.

“Pembatalan festival yang mengakibatkan kerugian kewangan buat FSA, sekali gus memberi impak buruk kepada artis tempatan dan perniagaan yang bergantung kepada kejayaan festival itu.

“Ramai rakyat Malaysia terkesan,” katanya.

Pada GVF2023 yang berlangsung di Sepang, 21 Julai lalu, Healy tampil dengan aksi tidak senonoh bercium dengan pemain bass kumpulan itu di pentas selain secara terbuka mempertikai undang-undang Malaysia berhubung isu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

FSA akan patuh peraturan

Penyanyi itu juga dengan selamba meminum minuman keras, meludah ke arah penonton dan merosakkan dron yang sepatutnya merakamkan acara terbabit.

Susulan kejadian itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil membatalkan konsert berkenaan yang masih berbaki dua hari lagi.

FSA berkata pihaknya menghargai kepercayaan diletakkan peminat dan pihak berkuasa kepada mereka selama ini.

“Organisasi itu tak akan berbelah bahagi dalam komitmennya menyajikan pengalaman muzik secara langsung yang meriah di Malaysia.

“Selain itu, FSA akan patuh sepenuhnya terhadap undang-undang serta peraturan tempatan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS