Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Kopi Pangku, Gaun Baju Melayu tampil Nasha Aziz dan Ewan Fauzi
Diterbitkan:  Aug 4, 2023 3:35 PM
Dikemaskini: 7:35 AM

Pementasan dua monodrama Kopi Pangku dan Gaun Baju Melayu di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermula 18 hingga 20 Ogos ini akan menjadi taruhan Persatuan Teater Malaysia dalam usaha menjadikan seni teater tempatan sebagai sebuah industri.

Presiden Persatuan Teater Malaysia, Sakrani Shamsuddin, berkata persembahan yang menampilkan Nasha Aziz dan Ewan Fauzi itu merupakan aktiviti terkini mereka bagi melonjakkan teater tempatan daripada sekadar sebuah persembahan kepada sebuah kerjaya profesional.

“Usaha ini telah pun dilakukan penggiat teater Inggeris kerana mereka menerima sokongan penajaan yang besar daripada syarikat swasta, sedangkan teater Melayu hanya bergantung kepada sumbangan dana dan geran kerajaan yang jumlahnya terhad mengikut belanjawan negara.

“Oleh sebab itu, kami sanggup memanggil pelakon prolifik seperti Nasha Aziz dan pengarah teater terkemuka dan mantan Dekan Fakulti Teater Aswara, Rosminah Tahir, walaupun kami tahu pulangannya tidak akan mampu menampung kos penerbitan,” katanya dalam kenyataan.

Sakrani Shamsuddin

Kopi Pangku dan Gaun Baju Melayu diterbitkan oleh Persatuan Teater Malaysia dengan kerjasama DBP, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan CTRA Productions dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Sakrani yang juga penerbit projek monodrama itu berkata, walaupun berskala kecil dengan muatan dewan tidak melebihi 100 penonton, Persatuan Teater Malaysia tetap membawakan naskhah itu bertaraf profesional melalui teknik persembahan, arahan dan lakonan.

“Usaha ini perlu dilaksanakan kerana kami mengundang organisasi korporat dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta membeli tiket secara pukal untuk disumbangkan kepada petugas dan pelajar masing-masing, di samping jualan terbuka kepada orang awam dan peminat teater.

“Kami ingin memperkenalkan teater tempatan kepada golongan korporat dan generasi muda terutama pelajar yang masih belum menjadikan budaya menonton teater sebagai aktiviti waktu senggang seperti mereka menonton filem atau konsert,” katanya.

Sakrani berkata, Kopi Pangku dan Gaun Baju Melayu mempunyai dua cerita atau skrip, masing-masing dihasilkan oleh Rosminah Tahir serta karya Sitiroy Tan.

Ewan Fauzi

“Kedua-dua cerita itu tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dan mempunyai perspektif berbeza daripada segi kandungan cerita.

“Bagaimanapun, falsafah yang terselindung adalah sama iaitu tentang kehidupan lampau seseorang yang mempunyai sejarah tersendiri dan bagaimana mereka menanganinya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS